Site icon Malaysia now

PKPD di asrama pekerja Top Glove tamat hari ini

PKPD di asrama pekerja Top Glove di Klang tamat hari ini berikutan penurunan kes jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan penamatan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove di Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu berakhir hari ini selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) setelah kes jangkitan Covid-19 di situ mencatatkan penurunan.

“PKPD ini melibatkan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8.

“KKM melaksanakan 5,805 saringan dan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 4,305 kes.

“Setelah 28 hari pelaksanaan PKPD di kawasan ini, KKM mendapati terdapat trend penurunan kes positif yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian perintah kawalan dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

Ismail turut memaklumkan, sehingga kini daripada 28 kilang yang ditutup, 14 dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi, manakala baki 14 lagi akan dibuka secara berperingkat.

Ismual juga mengumumkan penamatan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan, Sabah bermula esok, 15 Dis.

”Sehingga 11 Dis 2020, KKM melaksanakan 1,062 ujian saringan dan sebanyak 217 kes Covid-19 telah direkodkan.

“Sehingga kini tinggal baki 29 kes aktif positif yang melibatkan tahanan dan kakitangan di pusat tahanan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kg Desa Bajau dan Kg Dasar Baru, Lahad Datu, Sabah selama 14 hari lagi sehingga 29 Dis susulan masih terdapat risiko jangkitan di lokaliti terbabit.

Ismail berkata, semalam pihak polis menahan 360 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dengan kesalahan gagal mematuhi penjarakan fizikal mencatatkan angka teringgi sebanyak 186 kes.

“Daripada jumlah itu, 340 individu dikompaun, manakala 20 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (186), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (47), aktiviti di pusat hiburan (10) dan lain-lain (17),” katanya.

Beliau berkata, menerusi Operasi Benteng pihak berkuasa semalam turut menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 5 kenderaan darat dan 1 bot.