Site icon Malaysia now

Petronas kurangkan pegangan dalam MISC, KLCCP

Petronas kekal sebagai pemegang saham terbesar MISC dengan kepentingan 51.6% berbanding 57.56% sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Petronas mengurangkan pegangannya dalam MISC Bhd dan KLCCP Stapled Group di Bursa Malaysia Securities semalam menerusi langkah penetapan harga dengan ekuiti yang dipercepatkan.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata, pengurangan itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha pengoptimuman berterusan Petronas untuk memastikan portfolio yang mampan dan kukuh di samping bersedia merebut peluang perniagaan baru.

“Penjualan saham ini akan mewujudkan penyertaan dan pemilikan pelabur tempatan dan antarabangsa yang lebih baik dalam syarikat sebagai tambahan kepada mudah tunai saham yang meningkat,” katanya.

Petronas menambah, syarikat itu akan terus mengekalkan pemegangan sahamnya dalam MISC dan KLCC SG yang kekal menjadi penyedia penyelesaian utama kepada Petronas.

Selepas penjualan itu, Petronas akan terus kekal sebagai pemegang saham terbesar MISC dengan kepentingan 51.6% berbanding 57.56% sebelum ini.

Pada 10.50 pagi, MISC naik lima sen kepada RM6.86 dengan 311,200 saham diniagakan dengan pemodalan pasaran RM30.44 bilion, manakala KLCCP jatuh satu sen kepada RM7.49 dengan 240,800 saham diniagakan dengan permodalan pasaran RM13.63 bilion.