Site icon Malaysia now

Peruntukan Kementerian Pertahanan lulus tanpa bantahan

Dewan Rakyat hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM RM15.860 bilion kepada Kementerian Pertahanan melalui undian suara majoriti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan tidak berdepan sebarang masalah untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon berkata, RUU itu dipersetujui dengan undian suara majoriti

“Lebih suara bersetuju,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu juga diluluskan dengan mudah tanpa melalui undi belah bahagi selepas 10 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Tiada kekecohan berlaku seperti perbahasan melibatkan peruntukan Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum itu yang diputuskan melalui undi belah bahagi.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaacob menggulung perbahasan yang menyaksikan ia menjadi peruntukan kementerian ke-24 diluluskan walaupun pembangkang mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kementerian Pertahanan diperuntukan sebanyak RM15.860 bilion dalam Belanjawan 2021, iaitu RM11.355 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM4.5 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan.