Site icon Malaysia now

‘Permata’ pelancongan luar bandar Sabah bakal bersinar, kata pembantu menteri

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Joniston Bangkuai melawat pusat penginapan kebudayaan Walai Tobilung, di Kota Marudu, hari ini. (Gambar Sabah Tourism Board)

KOTA MARUDU: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Joniston Bangkuai berkata, cadangan peruntukan sebanyak RM17.2 juta untuk pelancongan luar bandar dalam Belanjawan 2021 Sabah bakal merancakkan lagi industri itu.

Katanya, cadangan peruntukan besar seperti yang dibentangkan Ketua Menteri, Hajiji Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam itu juga belum pernah berlaku di negeri itu sebelum ini.

”Ini membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji sangat mengutamakan pelancongan luar bandar.

“Kita menjangkakan ‘permata’ pelancongan luar bandar negeri ini bakal lebih bersinar pada masa akan datang.

“Peruntukan sebanyak ini (untuk pelancongan luar bandar) belum pernah terjadi sebelum ini dan ini membuktikan Sabah mempunyai potensi besar dalam pelancongan luar bandar, terutama pelancongan berasaskan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat pusat penginapan kebudayaan Walai Tobilung di sini, hari ini.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, kerjasama antara kementeriannya dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi menangani isu berkaitan pelancongan juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan pelancongan luar bandar.

”Selain itu, dalam usaha kita untuk mempromosikan pelancongan agro di Sabah, saya juga mencadangkan supaya Kementerian Pertanian turut dimasukkkan ke dalam jawatankuasa bersama untuk tujuan itu.

”Kami di pihak pelancongan Sabah bersedia untuk membantu industri pelancongan luar bandar ke tahap terbaik, tetapi ia terserah kepada komuniti sendiri untuk menjayakan usaha berkenaan,” katanya.