Site icon Malaysia now

Penyelidik Malaysia raih anugerah perubatan Jepun

KUALA LUMPUR: Vaksin penyakit denggi perlu menjalani beberapa fasa ujian bagi membuktikan keberkesanan dan tahap keselamatannya untuk kegunaan jangka masa panjang, kata penyelidik Malaysia, Dr Moi Meng Ling.

Moi yang merintis asas pembangunan vaksin mencegah demam denggi di Jepun memperoleh anugerah daripada Agensi Pembangunan dan Penyelidikan Perubatan (AMED) negara itu hari ini berkata, kajiannya turut merangkumi wabak zika.

“Kajian ini penting bagi Malaysia dan saya berhasrat membentangkan kemajuan teknologi yang dibangunkan dengan kerjasama negara ASEAN dan Jepun bagi membasmi denggi dan zika.

“Sebelum ini saya tidak melihat vaksin denggi dapat dibangunkan dengan pantas.

“Namun kita sudah melihat bagaimana kita boleh menggunakan kepantasan teknologi untuk membangunkan vaksin baharu COVID-19 untuk digunakan dalam pembangunan vaksin denggi dan zika,” katanya yang menjadi warga asing pertama menerima anugerah itu di Jepun.

Beliau berkata demikian pada sidang video yang turut dihadiri Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka.

Anugerah AMED diberikan kepada mereka yang memberi sumbangan besar kepada penyelidikan dan kemajuan dalam bidang perubatan.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menjadi profesor di Institut Perubatan Tropika di Universiti Nagasaki di Jepun berkata, penyelidikan untuk mencari vaksin denggi amat penting di Malaysia kerana penyakit itu boleh mencetuskan wabak lebih buruk pada masa akan datang.

“Sebagai bekas pesakit denggi, saya berpendapat penyelidikan mengenai vaksin denggi paling kurang diterokai, berbanding virus influenza atau batuk kering,” tambahnya.

Beliau juga menyumbang dalam penyelidikan mengenai tindak balas imun dan penyakit serius terhadap pesakit denggi dan berjaya menghasilkan model biologi untuk pembangunan vaksin dan terapi terhadap penyakit ini.

Moi juga melakukan kajian mengenai langkah pencegahan penyakit virus bawaan arthropoda, terutama denggi, khususnya untuk memahami asas pengembangan vaksin yang berkesan untuk mencegah demam denggi.