Site icon Malaysia now

Penurunan penarafan Fitch boleh diterbalikkan, kata pakar ekonomi

Fitch Ratings turut menurunkan penarafan Petronas selepas menurunkan penarafan Malaysia.

PETALING JAYA: Pakar ekonomi memberi solusi untuk menterbalikkan penurunan penarafan negara oleh agensi penarafan yang berpangkalan di Amerika Syarikat dengan berkata, tiada alasan untuk terlalu bimbang.

Fitch Ratings menurunkan penarafan negara daripada “A-” kepada “BBB+” pada 4 Dis, manakala penarafan Petronas dan Telekom Malaysia turut diturunkan daripada “A-” kepada “BBB+” dua hari selepas itu

Penasihat ekonomi di Institut Strategik Kingsley, Hoo Ke Ping menyifatkan perubahan itu memang menarik perhatian, tetapi berkata, cara untuk memperbetulkannya juga mudah.

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Kewangan berhubung dengan Fitch dan mengemukakan kes Malaysia dengan berkata, beliau percaya penilaian berhubng kestidakstabilan politik dan peningkatan bebanan fiskal mungkin dilebih-lebihkan.

Hoo Ke Ping.

“Fitch gagal menyedari bahawa kerajaan ini baru berkuasa apabila negara dilanda Covid-19 dan dengan mengambil kira faktor itu, prestasinya (kerajaan) agak baik,” katanya.

“Selain itu, pemulihan kita berbentuk V dan paras hutang negara kekal di bawah 60%, dan merupakan matriks yang baik berbanding kebanyakan negara lain.

“Mereka mungkin mendapati situasi politik negara tidak stabil. Kerajaan mungkin kelihatan lemah, namun ia tidak bererti pembangkang lebih kuat. Jadi ia mungkin lebih stabil daripada yang mereka sedari.”

Beliau turut menggesa supaya langkah diambil untuk memperbaiki komunikasi dengan agensi penarafan dengan berkata, hubungan baik memberi manfaat jangka panjang.

Seorang lagi pakar ekonomi, Carmelo Ferlito yang merupakan ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia berkata, usaha Putrajaya untuk menerbalikkan penurunan penarafan memerlukan tindakan yang lebih ketara.

Beliau berkata, wujud keperluan bagi kerajaan menghapuskan kebimbangan mengenai apa yang dilihatnya sebagai “kekurangan strategi pemulihan umum” dalam menangani kesan Covid-19 ke atas ekonomi.

Beliau berkata, ia membabitkan persoalan berhubung keberkesanan jangka panjang langkah perbelanjaan keseluruhan kerajaan.

Carmelo Ferlito.

“Seterusnya, memandangkan ketegangan politik menjadi sumber kebimbangan, saya percaya mengadakan pilihan raya pada waktu ini adalah solusi yang lebih baik,” katanya dengan menambah bahawa pilihan raya umum mungkin memberi “panduan jelas” kepada Malaysia yang boleh menjurus kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi.

Ferlito juga berkata ia tiada keperluan bagi kerajaan untuk “menjadi terlalu tertekan” susulan penurunan penarafan itu, walaupun ia tidak harus terlalu berpuas hati dengan pencapaiannya.

“Semoga kerajaan tidak mengabaikan amaran ini dengan respons ‘tidak apalah, ia merupakan tahun yang sukar’.”