Site icon Malaysia now

Pengindahan mampu ubah stigma Highland Towers kawasan menakutkan

Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan sebagai berkata, KPKT merancang memberi nafas baharu di kawasan Highland Towers dengan mengindahkannya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Rancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan menjadikannya sebagai tapak bersejarah, dilihat dapat mengubah stigma masyarakat yang menyifatkan kawasan itu sebagai menakutkan.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay/Hill View Siti Hendon Chek berkata, pihaknya mengalu-alukan rancangan itu, memandangkan kawasan dengan bangunan terbiar selama 27 tahun itu sebelum ini menjadi sarang penagih dadah, serta mengundang masalah sosial setempat.

“Jika sebelum ini kami hidup dalam keadaan kurang selesa, sekurang-kurangnya dengan berita (rancangan) ini, kami mampu menarik nafas lega sekiranya struktur bangunan itu diroboh dan dijadikan kawasan yang indah.

“Justeru, kami minta pihak lain tidak memperbesar perkara ini dan kerja meroboh bangunan dilakukan secepat mungkin, supaya kerja pengindahan kawasan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan sebagai berkata, KPKT merancang memberi nafas baharu di kawasan Highland Towers dengan mengindahkannya, sekali gus menjamin kesejahteraan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Tragedi Highland Towers pada 11 Dis 1993 menggemparkan negara, apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh, dan meragut 48 nyawa.