Site icon Malaysia now

Pengimport sarung tangan global kaji semula hubungan dengan pengeluar Malaysia

Salah sebuah syarikat asing berkata ia akan terus bekerjasama dengan pengeluar berkenaan dengan memastikan mereka memenuhi standard keselamatan, kualiti dan penambahbaikan.

PETALING JAYA: Dua pengimport sarung tangan utama dunia sedang mengkaji semula hubungan mereka dengan pengeluar sarung tangan Malaysia susulan serbuan kerajaan mendedahkan persekitaran tempat tinggal pekerja asing yang teruk di dua anak syarikatnya.

Kimberly-Clark, syarikat gergasi penjagaan diri yang memiliki jenama isi rumah seperti Kleenex, Scott dan Huggies, memberitahu FMT ia “sedang menilai perkara itu” apabila ditanya sama ada ia akan terus mendapatkan sumber daripada syarikat berkenaan.

Sementara itu, Ansell, sebuah firma keselamatan dan perlindungan peribadi Australia yang membekalkan kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional UK, berkata ia bercadang bertemu dengan pengarah urusan syarikat berkenaan “secepat mungkin” untuk membuat keputusan terhadap kesan kepada “situasi yang tidak dapat diterima”.

Satu operasi melibatkan pelbagai agensi pada Isnin mendapati 781 pekerja didapati tinggal dalam dua blok kontena tiga tingkat di bahagian belakang sebuah kilang.

Selain itu, satu serbuan berasingan terhadap syarikatnya pada Khamis mendapati pekerja ditempatkan dalam dua gudang yang mana hujung laluannya dipenuhi sampah sarap dan sisa kilang.

“Kami terkejut melihat persekitaran tempat tinggal seperti itu (di kilang pertama), yang mana ia tidak boleh diterima sama sekali,” kata seorang jurucakap Ansell.

“Berdasarkan gambar dan video dalam laporan media, ia membuktikan persekitaran tempat tinggal disediakan kepada sebilangan pekerja di tapak berkenaan tidak dapat diterima dan ia melanggar standard etika tenaga buruh, kenyataan hak asasi manusia dan tatakelakuan pembekal.”

Syarikat itu juga berkata, ia sedang berhubung dengan pembekal lain untuk mengenal pasti alternatif dan memastikan ia dapat memenuhi peningkatan permintaan global peralatan perlindungan peribadi ketika pandemik COVID-19.

Menegaskan ia “langsung tidak” menyedari persekitaran tempat tinggal di kilang pertama, Ansell berkata audit pihak ketiga yang diarahkan syarikat itu pada Mei 2019 tidak mendedahkan sebarang persekitaran tempat tinggal pekerja asing yang mengerikan.

“Kami sedang menyiasat mengapa,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Kimberly-Clark berkata ia memandang berat laporan baru-baru ini dan komited memastikan pekerjanya di seluruh dunia, termasuk mereka yang bekerja kepada pembekalnya, dilayan dengan rasa hormat dan standard tempat kerja serta hak asasi manusia dipenuhi sepanjang masa.

“Melalui usaha kami untuk memastikan supaya pembekal memenuhi standard keselamatan, kualiti dan pematuhan yang tinggi, kami mengenal pasti beberapa peluang untuk penambahbaikan dan akan terus bekerjasama dengan (syarikat berkenaan) kerana kami akan memastikan mana-mana pembekal dapat melakukan penambahbaikan.”