Site icon Malaysia now

Penerbit buku Irshad Manji bebas daripada tuduhan

Mahkamah syariah membebaskan Erza Zaid daripada tuduhan menerbit buku yang didakwa bertentangan dengan undang-undang Islam. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Penerbit Ezra Zaid dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah atas tuduhan menerbitkan buku yang didakwa bertentangan dengan undang-undang Islam.

Hakim Shukran Yusof melepas dan membebaskan Ezra daripada tuduhan itu, walaupun pendakwa raya minggu lalu cuma memohon supaya dia dilepas tanpa dibebaskan.

Ezra mendakwa dia wajar dibebaskan sepenuhnya susulan perintah Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mendakwanya.

Ezra meminta dibicarakan pada 2013 atas tuduhan menerbitkan buku penulis Kanada, Irshad Manji bertajuk “Allah, Liberty and Love” serta versi yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Buku itu diharamkan pada 2012 kerana dianggap melanggar ajaran Al-Quran dan hadis.

Selepas meneliti hujahan bertulis dikemukakan peguam Zulkifli Che Yong serta pendakwa raya Zamniazura Mohd Sarin, mahkamah memerintahkan Ezra dibebaskan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk JAIS melupuskan 180 salinan buku yang dirampas daripada Ezra.

Shukran dalam keputusannya bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan bahawa tuduhan berkenaan diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Rayuan, yang disokong Mahkamah Persekutuan.

“JAIS tidak boleh mengambil tindakan lanjut terhadap tertuduh kerana isu itu kini sekadar menjadi akademik,” katanya.

Shukran turut menolak permohonan kerajaan negeri untuk perintah melarang Ezra atau ejennya mengulas tuduhan berkenaan.

“Kebebasan bersuara dijamin mengikut Perkara 10 Perlembagaan. Selagi kenyataan dikeluarkan tidak berunsur fitnah, ia dibenarkan,” katanya.

Selepas prosiding berakhir, Ezra beritahu pemberita dia gembira perjuangannya lapan tahun di mahkamah syariah sudah berakhir.

“Bagaimanapun, masih ada satu kes di mahkamah sivil untuk tuntutan ganti rugi,” katanya.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan ketika membenarkan Ezra mencabar pendakwaannya turut mengarahkan ganti rugi ditaksir di Mahkamah Tinggi.