Site icon Malaysia now

Pendakwaan tutup kes dalam perbicaraan rasuah Rosmah

Rosmah Mansor didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada pengarah urusan sebuah syarikat berhubung projek solar di Sarawak dan turut menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Rosmah Mansor menutup kesnya terhadap isteri bekas perdana menteri itu hari ini.

Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang pihak pendakwaan sudah memanggil saksinya untuk memberi keterangan.

Seramai 23 saksi sudah memberi keterangan mereka sejak perbicaraan kes Rosmah bermula 5 Feb lalu.

“Kami menawarkan 10 saksi kepada pihak pembelaan. Dan kami juga bersedia mengemukakan penghujahan kami untuk menutup kes pendakwaan dalam lima hari.”

Antara saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan ialah Najib Razak.

Rosmah menghadapi tiga pertuduhan rasuah atas dakwaan meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader berkata, pihak pembelaan memerlukan masa kira-kira sebulan untuk menyediakan penghujahannya.

Tetapi, Zaini berkata, beliau memberi pihak pembelaan sehingga 28 Dis ini untuk memfailkan penghujahan, dan pihak pendakwaan perlu membalasnya sebelum 4 Jan depan.

“Dan pihak terbabit perlu hadir di depan saya pada 10 Feb 2021 untuk penjelasan lanjut.”

Terdahulu, hakim menolak permohonan pendakwaan untuk menyerahkan satu rakaman audio antara Rosmah dan Najib. Beberapa saksi sudah mengenal pasti suara pasangan itu daripada rakaman itu.

“Selepas mendengar hujah daripada peguam, saya tidak cenderung untuk rakaman dan transkrip itu diakui sebagai bukti.”

Bekas menteri Mahdzir Khalid nafi dakwaan rasuah

Mahkamah turut mendengar keterangan daripada bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid, yang dipanggil semula ke kandang saksi hari ini.

Peguam Jagjit Singh, dalam pemeriksaan balas ke atas Mahdzir, sekali lagi menyoalnya berhubung laporan berita mengatakan beliau akan didakwa dengan rasuah atas tuduhan meminta dan menerima wang daripada Saidi.

“Itu sebabnya peguam anda membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk anda memberi keterangan terhadap anak guam saya,” kata Jagjit.

Mahdzir berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit.

Peguam itu kemudiannya menekan Mahdzir berhubung kenyataan medianya pada Mei lalu, di mana beliau mengugut akan menyaman mereka yang cuba mengaitkannya dengan dakwaan rasuah.

Mahdzir berkata, beliau tidak ingat kenyataan media itu dan Jagjit bertanya: “Anda betul-betul tidak ingat apa-apa langsung”.

“Ya, kerana Covid,” jawabnya dengan gurauan.

Apabila Jagjit meninggikan suaranya dan mendakwa Mahdzir “menggunakan ingatan terpilih” terhadap soalan itu, bekas menteri itu menjawab: “Saya tidak berbohong kepada mahkamah dan ini bukannya Parlimen”.