Site icon Malaysia now

Pemuda UMNO gesa Putrajaya tubuh pasukan khas kesan dalang kartel seludup daging

Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Putrajaya perlu bertindak serta merta dengan menarik semula bekalan daging yang memasuki pasaran dalam tempoh 2 minggu lepas.

PETALING JAYA: Pemuda UMNO menggesa Putrajaya menubuhkan pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang kartel di sebalik penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk yang diragui status halal dan kualitinya.

Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki berkata, majoriti rakyat tidak sedar bahawa pensijilan halal dan penguatkuasaan membabitkan makanan halal terletak di bawah bidang kuasa agensi yang berbeza-beza.

“Kuasa pensijilan halal ketika ini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Sedangkan penguatkuasaan (terletak) di bawah pelbagai agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Kementerian Kesihatan, polis dan Jabatan Kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam isu mengawal selia import bekalan daging pula, ia tidak hanya terletak di bawah kuasa mutlak JAKIM, malah turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam (JKDM) serta polis pelabuhan.

Asyraf berkata, disebabkan itu Putrajaya perlu mengambil tindakan serta merta menarik semula bekalan daging yang memasuki pasaran dalam tempoh 2 minggu lepas oleh syarikat terbabit bagi mengelakkan ia dijual kepada rakyat dan pengusaha makanan.

“Adalah perlu untuk segera lakukan penambahan kakitangan pengawal seliaan halal di JAKIM dan di Jabatan Agama Islam Negeri yang mampu menampung keperluan mendesak, bukan sahaja aspek persijilan halal bahkan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Tegasnya, Putrajaya juga perlu memperkasakan semula Majlis Halal Malaysia bagi membangunkan industri halal secara komprehensif dan bersepadu, yang membabitkan 300 institusi agensi kerajaan persekutuan, negeri dan pihak swasta.

Terdahulu, JAKIM menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat ulasan dan pandangan berkaitan isu daging seludup kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kredibiliti kes.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Abdul Aziz Jusoh berkata, kes masih dalam siasatan KPDNHEP dan semua pihak diminta menghormati tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.