Site icon Malaysia now

Pembatalan feri Pulau Pinang ‘diketuai’ MCA, Wee, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang merupakan konfrontasi terbuka PN yang diketuai oleh MCA dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

PETALING JAYA: Pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang didakwa merupakan konfrontasi terbuka kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat negeri itu yang diketuai oleh MCA dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, MCA dan Wee tidak akan dimaafkan atau dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang kerana politik balas dendam.

Beliau juga kecewa dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang gagal menepati janji yang dibuat di Parlimen pada 17 Dis lalu untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Tengku Zafrul juga telah melakukan dosa besar sebagai menteri (kerana) dengan sengaja mengelirukan Parlimen.

“Suatu pelanggaran yang boleh dihukum oleh Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen.

“Dengan memungkiri janjinya di Parlimen, Tengku Zafrul bukan sahaja telah merosakkan kredibilitinya, tetapi juga membahayakan reputasi antarabangsa negara yang dilihat sebagai “lemah” tanpa pengaruh terhadap dasar kerajaan,” katanya.

Lim berharap Tengku Zafrul akan memberikan penjelasan kepada rakyat Pulau Pinang secara terbuka berhubung keadaan yang “membingungkan” itu.

Katanya, keadaan itu boleh membawa kesan lebih serius daripada sekadar mempertahankan perkhidmatan feri tersebut.

“Ini bukan kali pertama Pulau Pinang menderita teruk akibat politik balas dendam sejak kerajaan PN mengambil alih (kuasa) pada Mac 2020.

“Selain kehilangan perkhidmatan feri yang ikonik dengan keupayaan unik membawa kenderaan yang bermula bertahun lama sebelum Jambatan Pulau Pinang yang pertama dibina, Pulau Pinang kehilangan projek pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Lim berkata walaupun Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM7 bilion dalam bentuk cukai dan hasil tahunan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan PN menarik balik semua projek pembangunan kritikal yang diperuntukkan oleh kerajaan PH sebelum ini.

Pada 24 Dis, Putrajaya dilaporkan memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih moden untuk keselamatan dan keselesaan penumpang.

Wee berkata, beberapa pihak menyuarakan kekesalan atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.

Feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar bermula pada tahun 1894.

Sebelum ini dilaporkan perkhidmatan feri tersebut akan dihentikan pada 31 Dis ini.