Site icon Malaysia now

Peletakan jawatan Larry Sng tindakan bijak, kata penganalisis

Larry Sng.

KUCHING: Peletakan jawatan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai ketua PKR Sarawak merupakan keputusan yang popular ketika parti itu sedang bersedia untuk berdepan pilihan raya negeri, menurut dua penganalisis politik.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata peletakan jawatannya akan memberi PKR peluang mencari pemimpin Dayak yang berkeupayaan untuk memimpin parti itu di Sarawak.

“Sekiranya parti itu melantik seseorang yang berakhlak baik, berpendidikan baik, dan terkenal dalam kalangan masyarakat Dayak, beliau sebenarnya dapat mengukuhkan parti dalam beberapa bulan akan datang sebelum pilihan raya Sarawak ke-12 diadakan,” katanya kepada FMT.

“PKR tidak akan memberikan sebarang impak di kawasan Dayak sekiranya ia terus diketuai oleh seorang Cina. Justeru, seorang pemimpin Dayak yang berwibawa adalah penting untuk PKR menembusi kerusi majoriti Dayak.”

Jayum percaya peletakan jawatan Sng tidak akan beri impak negatif yang ketara terhadap parti.

“Pada hakikatnya, ia beri peluang kepada PKR untuk diketuai seorang pemimpin yang lebih berwibawa,” tambahnya.

Sng dilantik sebagai ketua PKR Sarawak pada Mac menggantikan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, yang keluar parti pada Februari susulan krisis politik negara.

Sng berkata keputusannya untuk meletak jawatan mengambil kira kepentingan PKR Sarawak, yang baginya harus diketuai seorang pemimpin Dayak untuk berdepan pilihan raya negeri.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania juga berkongsi sentimen sama mengenai PKR diketuai seorang pemimpin Dayak.

“Apa yang lebih penting bagi PKR buat masa ini adalah memilih seseorang yang dapat menyatupadukan parti dan pengundi Dayak. Kalau tidak, parti akan terus berada dalam keadaan huru-hara,” katanya.

“Mereka perlu menamakan seorang ketua baharu secepat baik mungkin kerana parti pembangkang di Sarawak sedang mengadakan perbincangan berhubung pengagihan kerusi. Mereka tidak punya banyak masa.”

Pilihan raya Sarawak perlu diadakan menjelang Jun 2021.