Site icon Malaysia now

Pelarian Rohingya tiada dokumen untuk transaksi, persatuan sangkal tuduhan rancang serang India

(Gambar AP)

PETALING JAYA: Gabungan Organisasi Rohingya di Malaysia (CROM) menyangkal laporan pelarian Rohingya di Malaysia terlibat dalam rancangan serangan pengganas di India.

CROM dalam kenyataan berkata laporan media India itu tidak masuk akal, kerana pelarian Rohingya tidak mempunyai sebarang dokumen untuk melakukan sebarang transaksi kewangan sebagaimana yang didakwa oleh media negara itu.

Katanya, pelarian Rohingya hanya memiliki dokumen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian, “oleh itu mereka tidak mempunyai kemungkinan untuk menerima transaksi tersebut dengan cara apa pun.”

“Pelarian Rohingya menetap sementara di Malaysia sambil menunggu penyelesaian tahan lama sama ada pulang ke negara asal atau penempatan semula di negara ketiga mengikut aturan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk pelarian,” katanya.

Semalam, akhbar Times of India melaporkan perisikan India mengesan rekod kewangan yang memberi petunjuk sebuah kumpulan pelarian Rohinga di Malaysia merancang melancarkan serangan pengganas di India.

Kumpulan itu dikatakan diketuai oleh seorang wanita.

Laporan itu menyebut pihak berkuasa India sedang menyiasat sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan penceramah kontroversi, Zakir Naik, berdasarkan transaksi kewangan yang dikesan.

CROM beri jaminan akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan ke atas tuduhan terorisme itu, dan meminta semua pihak berkenaan menggunapakai mekanisme berkesan bagi menyiasat dan bertindak terhadap orang yang terlibat dengan kegiatan pengganas atau konspirasi menyebabkan pergolakan.