Site icon Malaysia now

PAS arah ADUN menghadap Sultan Perak

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ia bersabit dengan arahan sultan.

PETALING JAYA: Semua ADUN PAS Perak diarahkan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas mendapat titah daripada pihak istana.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ia bersabit dengan arahan sultan.

Bernama memetik Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, sebagai berkata majlis menghadap Sultan Perak petang semalam dibatalkan atas arahan pucuk pimpinan.

Takiyuddin berkata, PAS sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja, sambil menambah sebarang urusan berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

“PAS akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa pemimpin semalam dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, termasuk Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, Ketua UMNO Negeri Saarani Mohamad dan tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Selepas menghadap, Zahid mendakwa calon parti itu mempunyai sokongan majoriti ADUN dan kerajaan Perikatan Nasional yang bakal ditubuhkan akan melibatkan parti itu, PAS dan PPBM.

Sultan Nazrin mengarahkan semua tiga ADUN PAS menghadap baginda semalam bagi membuktikan sokongan mereka untuk membentuk pentadbiran baharu, namun PAS Pusat mengarahkan ketiga-tiga ADUNnya membatalkan menghadap.

Negeri itu kekal tanpa menteri besar, berikutan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu selepas beliau disingkirkan akibat gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadap menteri besar di Dewan Undangan Negeri (DUN).