Site icon Malaysia now

Parti kerajaan PN, termasuk UMNO setuju tubuh Majlis Presiden

Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin itu turut bersetuju penubuhan sekretariat dianggotai setiausaha agung parti dalam PN.

PETALING JAYA: Parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam ini bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai ketua parti masing-masing bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan.

Penubuhan Majlis Presiden itu dilihat langkah penting diambil kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk menangani sebarang pertikaian dengan UMNO, iaitu blok terbesar dalam kerajaan PN.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden SUPP Sim Kui Hian dan Presiden PBS Maximus Ongkili antara yang hadir pada mesyuarat malam ini untuk bersetuju menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN.

“Platform itu untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti dalam kerajaan,” kata Hamzah Zainuddin bagi pihak Sekretariat Parti-Parti Dalam Kerajaan PN.

“Pada mesyuarat itu juga, parti-parti dalam PN membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” kata Hamzah.

Pada 28 Nov lalu, Muhyiddin berkata sudah tiba masanya sebuah Majlis Presiden dianggotai ketua parti kerajaan dibentuk.

Kenyataan itu dibuat susulan pelbagai  peringkat pimpinan UMNO  sering mempertkaikan keputusan-keputusan kerajaan PN, khususnya bersabit Belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin.

Hubungan UMNO dan PPBM yang dipimpin Muhyiddin juga tegang seketika akibat krisis politik di Perak yang menyaksikan jawatan menteri besar negeri itu beralih dari PPBM kepada UMNO.

Penubuhan Majlis Presiden Kerajaan  PN yang disokong oleh UMNO dilihat menyediakan platform untuk menangani permasalahan antara dua pihak itu dengan lebih berkesan.