Site icon Malaysia now

Pandemik, kabotaj, firma pseudo-Malaysia, antara gelora diharungi industri maritim

Industri maritim turut bergelut dalam menangani impak tidak langsung daripada dasar perlindungan perdagangan dan kendiri yang semakin meluas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdagangan maritim global dijangka merosot 4.1% tahun ini susulan krisis kesihatan pandemik Covid-19 yang bukan hanya menjejaskan rantaian bekalan malah rangkaian perkapalan dan pelabuhan, sekali gus mengakibatkan penyusutan jumlah kargo.

Industri maritim turut bergelut dalam menangani impak tidak langsung daripada dasar perlindungan perdagangan dan kendiri yang semakin meluas, menurut Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) menerusi laporan bulan lepas.

Di peringkat tempatan, pengendali pelabuhan Malaysia, Westport Holdings Bhd menjelaskan jumlah kontena berkurangan 4% bagi sembilan bulan pertama 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ia mengendalikan jumlah kontena yang lebih rendah iaitu sebanyak 7.73 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) selama sembilan bulan pertama 2020 kerana jumlah kontena dan permintaan terjejas ekoran pelbagai bentuk sekatan pergerakan yang dikenakan di seluruh dunia untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurut Persatuan Pengusaha-pengusaha Perkapalan Malaysia (SAM), jumlah kontena yang dikendalikan bagi 2020 dijangka berkurangan sebanyak 15% daripada 25 juta TEU pada 2019 berikutan aktiviti pemindahan ke kapal dan jumlah kontena yang lebih rendah, disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan.

Sektor maritim Malaysia juga menyaksikan perdebatan hangat mengenai dasar kabotaj di Parlimen pada akhir November, yang membawa kepada perubahan dasar Malaysia dan menimbulkan sedikit keyakinan industri.

Bagaimanapun, Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia; Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Sokongan Minyak Malaysia (MOSVA) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) menyambut baik keputusan membatalkan pengecualian dasar kabotaj.

Mereka berpendapat sudah sampai masanya syarikat Malaysia diberikan peluang dan dipertimbangkan sebelum kementerian menawarkan tender bagi sebarang kerja-kerja berkaitan kepada syarikat asing.

Presiden MOSVA, Mohamed Safwan Othman berkata persatuan itu menyokong keputusan kerajaan dan menekankan lebih banyak langkah seharusnya diambil untuk menggiatkan kembali dan melindungi ekonomi tempatan yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata negara-negara lain juga mengambil langkah yang sama, dengan Amerika Syarikat, Brazil dan bahkan Indonesia mempunyai dasar kabotaj yang lebih ketat berbanding Malaysia.

Selain kabotaj, wujud isu lain yang lebih mendesak, dengan banyak syarikat yang sebenarnya bukan syarikat Malaysia tetapi beroperasi di negara ini, katanya.

“Syarikat ini menggunakan proksi untuk menjadikan kapal dan syarikat mereka seolah-olah milik tempatan tetapi sebenarnya adalah milikan asing, terutama jiran selatan kita,” katanya.

Ahli MOSVA memiliki kira-kira 300 kapal. Terdapat penambahan sekitar 100 kapal di perairan Malaysia yang dimiliki oleh bukan ahli MOSVA termasuk milik syarikat pseudo-Malaysia.

“Ini bermakna nilai sewa carter adalah kira-kira RM1 bilion setiap tahun dan ini sebenarnya merugikan ekonomi kita kerana banyak wang akan mengalir keluar dari negara ini.

“Susulan kontroversi mengenai kapal pemasangan kabel milik asing yang bekerja di perairan Malaysia baru-baru ini sudah sampai masanya dasar kabotaj dikuatkuasakan dengan ketat dan amalan ini dipraktikkan, jika sebaliknya, imbangan pembayaran akan semakin buruk,” katanya.

Beliau menjelaskan segmen kapal sokongan minyak (OSV) di Malaysia mengalami prestasi sangat teruk ekoran harga minyak mentah yang rendah selain peningkatan kes pandemik Covid-19, dengan beberapa kelewatan operasi dan pembatalan projek.

Kebanyakan kontrak yang menyokong pengeluaran masih seperti biasa dan tiada rundingan semula yang penting bagi kontrak-kontrak dari firma utama termasuk Petronas manakala jumlah projek, termasuk penggerudian, turut ditangguhkan, katanya.

Berikutan gangguan yang melanda itu, kira-kira 30% kumpulan kapal milik ahli MOSVA tidak beroperasi untuk memberi perkhidmatan.

Industri maritim juga tidak dipinggirkan dalam Belanjawan 2021 apabila sejumlah RM3.7 bilion disediakan di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik yang dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2023 bagi menghidupkan dan mencergaskan kembali industri perkapalan.

“Ia tepat pada masanya. Ahli MOSVA pasti akan berusaha menggunakan dana ini yang akan diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan kami telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan BPMB mengenai hal ini,” katanya.

Pemangku Presiden AMIM, Soo Jee Main berkata industri pembuatan kapal dan pembaikan kapal Malaysia juga masih belum pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia malah pandemik Covid-19 memburukkan lagi kelembapan itu yang mengakibatkan projek-projek besar dikecilkan khususnya dalam sektor huluan.

Katanya, kesan penuh Covid-19 ke atas industri ini akan dapat dilihat selain impak tidak langsung terhadap sektor pembuatan kapal dan pembaikan, malah negara-negara tertentu turut memperketatkan dasar kabotaj masing-masing.