Site icon Malaysia now

Paip pecah: Gangguan bekalan air 6 kawasan di Klang, Shah Alam hingga esok

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 12 tengah hari esok. (Gambar Freepik)

KUALA LUMPUR: Enam kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam iaitu Seksyen 18, 19, 20, 23, 24, dan 25, akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan paip pecah di Jalan Persiaran Jubli Perak Seksyen 24 Shah Alam, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri dalam kenyataan berkata, ekoran insiden itu bekalan air akan ditutup pada 10.30 malam ini bagi melaksanakan kerja pembaikan paip pecah tersebut, dan dijangka siap pada 8 pagi esok.

“Bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari 14 Dis. Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat mengikut jarak premis dan tekanan air, apabila bekalan air mula disalurkan selepas kerja pembaikan siap dilaksanakan,” katanya.

Elina berkata, Air Selangor akan menggerakkan lori tangki bagi pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan kerja pembaikan paip pecah tersebut dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Twitter dan Instagram, serta aplikasi Air Selangor di laman sesawang www.airselangor.com.