Site icon Malaysia now

Nasib pemain bola sepak wanita

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita seorang anak gadis berusia 15 tahun menjadi atlet bola sepak wanita pertama mewakili kelab dari Jerman, iaitu Bayern Munich FC kategori U-17. Celine Chuang, dikatakan memulakan penglibatannya dalam sukan bola sepak semenjak berusia 11 tahun melalui Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB) Pulau Pinang.

Setelah itu, Celine dikatakan mula berhijrah ke Thailand dan mengikuti teknik bola sepak secara mendalam di Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) di Phuket, Thailand di bawah kendalian jurulatihnya, Cruzeiro, selama dua tahun.

Secara jujurnya, apabila dilihat perjalanan karier bola sepak Celine, saya melihat jika seseorang atlet itu ingin berjaya, mereka perlu belajar teknikal bola sepak yang lebih mendalam di negara orang berbanding di negara sendiri. Ini menggambarkan, sedikit sebanyak tentang realiti ekosistem sukan bola sepak negara yang lemah menyebabkan atlet memilih negara lain untuk mengasah bakat.

Saya tidak terkejut jika Celine memilih sekolah di negara luar bagi mempelajari metodologi bola sepak secara mendalam, kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri tidak memberi tumpuan penuh pada atlet bola sepak wanita.

Kita sering mendengar pelbagai kejohanan bola sepak melibatkan pemain bola sepak lelaki dari Liga Perdana, Liga Super, Liga Malaysia, dan pelbagai kejohanan lagi namun apabila ia membabitkan bola sepak wanita, tiada apa-apa yang menarik untuk diikuti malah lensa kamera wartawan sukan juga lebih tertumpu pada atlet lelaki berbanding atlet wanita.

Saya pernah menyuarakan isu ini di beberapa laman akhbar seperti FMT dan Semuanya Bola, tentang diskriminasi gender sangat jelas terjadi dalam arena sukan tanah air kita.

Seharusnya FAM menjadikan kes Celine untuk mengkaji program akar umbi yang perlu dilaksanakan supaya lebih ramai atlet wanita dapat dilahirkan bagi membentuk skuad yang mantap pada masa akan datang.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga perlu meneliti dan program jangka panjang buat sukan bola sepak wanita yang sering dipinggirkan sejak dahulu lagi. Walaupun terdapat peruntukan yang fokus pada atlet wanita, namun saya melihat kegagalan industri sukan tanah air dalam melahirkan atlet pelapis tanah air secara konsisten.

Mungkin sudah masanya, KBS merealisasikan Universiti Sukan bagi menggerakkan industri sukan negara secara mampan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.