Site icon Malaysia now

Nama bakal terpahat di Walk of Fame, Siti ucap terima kasih kepada peminat

Nama Siti Nurhaliza bakal terpahat di Walk of Fame di Adelaide.

Pertama kalinya dalam sejarah industri muzik tempatan, nama penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, 41, bakal terpahat di Walk Of Fame (WOF) di Adelaide sebaris dengan selebriti dan pengkarya tersohor di dunia.

Ia berikutan kejayaan Siti mengadakan konsert sempena OZ Asia Festival di sana pada Oktober tahun lalu.

“Saya sangat gembira dan terharu, memang saya tidak pernah membayangkan nama saya diabadikan di WOF. Selama ini saya hanya bergambar dengan WOF artis lain apabila berkunjung ke Hollywood.

“Ini juga satu penghargaan buat industri muzik negara kita dan saya berharap dapat ke sana sekali lagi untuk bergambar dengan nama saya pula,” ujarnya.

Siti juga menganggap ia satu pengiktirafan di atas pencapaiannya selama 25 tahun bergiat aktif di dalam industri.

“Sewaktu saya membuat konsert di Adelaide, pihak pengajur mencalonkan nama saya untuk WOF dan saya terpilih menerusi undian terbanyak Public Choice.

“Saya bersyukur dan penghargaan ini juga adalah rezeki anak yang bakal lahir.

“Saya sangat berterima kasih di atas sokongan kuat dari peminat sepanjang proses pengundian samada di dalam mahupun di luar negara,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com