Site icon Malaysia now

Miliki dasar konsisten, perubahan politik tidak jejas dagangan 2 hala, kata MITI

KUALA LUMPUR: Perubahan politik di Malaysia tidak memberi impak terhadap perdagangan dua hala berikutan negara ini mempunyai dasar konsisten yang mesra perniagaan dan pelaburan.

Pengarah Kanan Bahagian Perdagangan dan Ekonomi Dua Hala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Nor Hasnah Badroddin berkata ini berbeza kerana lazimnya perubahan politik boleh memberi kesan ketara terhadap dasar perdagangan dan ekonomi selain turut mempengaruhi senario perniagaan.

“Malaysia merupakan sebuah negara dagangan yang mana perdagangan antarabangsa ini berperanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Oleh itu, sejak lebih dua setengah tahun ini, kita menyaksikan perubahan kerajaan namun dasar kita kekal sama iaitu mesra perniagaan selain terus mewujudkan ekosistem bagi memupuk perniagaan yang mampan,” katanya.

Nor Hasnah Badroddin.

Beliau berkata demikian pada program dialog awam Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan (MALPAK) secara maya semalam.

Mengulas selanjutnya, Nor Hasnah berkata Malaysia juga melaksanakan strategi seperti pertumbuhan dan pembangunan negara, meningkatkan pertumbuhan eksport, memastikan ekonomi kekal terbuka, mengembangkan perjanjian perdagangan serta meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan.

“Strategi sedemikian akan membolehkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang produktif, inovatif serta berdaya saing terutamanya bagi tujuan perdagangan dua hala,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MALPAK Mohamed Nazir Meraslam berkata pihaknya optimis terhadap pertumbuhan perdagangan dan pelaburan dua hala membabitkan Malaysia dan Pakistan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, MALPAK juga meminta supaya kedua-dua kerajaan meningkatkan kesedaran mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) menerusi penganjuran program seperti bengkel.

Pada masa sama, semakan MPCEPA dari semasa ke semasa juga wajar selain turut dijadikan sebagai platform untuk melaksanakan langkah praktikal bagi mempermudah dan mengembangkan perniagaan, perdagangan dan pelaburan dua hala.

“MALPAK juga telah meminta supaya wakil Pakistan mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai peluang dan insentif di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan,” katanya.

Majlis perniagaan itu dimanfaatkan dari segi meneroka dan menceburi lebih banyak peluang perniagaan antara kedua-dua negara serta turut berhubung rapat dengan agensi-agensi kerajaan di Malaysia dan Pakistan bagi kemudahan peluang perdagangan dan pelaburan.

Bagi kemajuan masa depan, Mohamed Nazir berkata MALPAK akan terus meningkatkan inisiatif pada 2020 dan berhasrat membawa satu delegasi perdagangan Malaysia ke Pakistan pada suku pertama 2021.