Site icon Malaysia now

Memancing guna kayak, uji kemahiran kaki pancing

Kaedah memancing menggunakan kayak ini menguji daya tahan pemancing. (Gambar Bernama)

Memancing menggunakan kayak. Bagi yang pertama kali mendengar, ini adalah aktiviti terbaharu yang sedang popular di Port Dickson. Bagi kaki pancing, kaedah ini pasti menarik malah mempunyai cabarannya tersendiri.

Aktiviti ini sememangnya telah popular di sesetengah negara khususnya negara barat seperti Amerika Syarikat dan di Malaysia, ia boleh diketengahkan sebagai satu lagi produk pelancongan di negara ini.

Bagi yang sukakan cabaran, mungkin ini aktiviti yang perlu anda cuba namun, dalam masa yang sama, soal keselamatan ketika memancing perlu diberi keutamaan.

Biar pun tampak mudah, kaedah memancing yang diperkenalkan oleh Port Dickson (PD) Watersports Sdn Bhd, di Pantai Bagan Pinang di sini, sangat menguji daya tahan pemancing. Ini kerana mereka perlu mengimbangi serta mengayuh kayak dalam jarak hampir empat kilometer dari pantai.

Menurut Pengarah Urusan Port Dickson (PD) Water Sports, Mazuan Mohd Noor, 37, perkhidmatan sewaan kayak yang diwujudkan awal Mac lepas untuk tujuan tersebut menunjukkan ia mempunyai potensi besar untuk berkembang di negara ini.

“Sebenarnya aktiviti ini memang sudah lama ada di negara ini, tapi ia mungkin belum lagi popular bagi kebanyakan orang, tetapi ia memang mempunyai peminatnya tersendiri yang gemarkan cabaran.

“Memancing menggunakan kayak ini memerlukan stamina yang tinggi untuk mengendalikan dan mengayuh pendayung kayak,” katanya.

Mazuan turut menjelaskan, kayak yang digunakan untuk aktiviti memancing memiliki rekaan yang lebih lebar dan stabil berbanding kayak biasa. Malah, kayak dilengkapi peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan walkie-talkie.

“Kayak turut dilengkapi ‘fishing point’ bagi menyediakan maklumat lokasi memancing. Jadi pemancing hanya perlu muat naik aplikasi tersebut dan kita akan kongsikan lokasi sesuai.

“Tahun depan, kita akan menambah baik lagi kayak itu dengan kemudahan ‘fish finder’ yang menggunakan sistem sonar untuk mengesan lokasi karang dan ikan dengan lebih tepat,” jelasnya.

Beliau berkata, setakat ini syarikatnya menawarkan 16 unit kayak termasuklah kayak berseorangan jenis fin type, propeller, hand padle dan kayak untuk dua orang iaitu tandem kayak.

Bagi mereka yang baru berjinak dalam aktiviti ini, mereka dinasihati untuk ke lokasi yang dekat terlebih dahulu dan akan diikuti oleh seorang staf bagi memantau keselamatan mereka.

“Bahkan pekerja di sini juga diambil dalam kalangan nelayan. Jadi mereka lebih tahu selok belok pantai dan lokasi memancing yang sesuai, selain ia turut dapat menambah pendapatan nelayan berkenaan,” katanya.

Menurut Mazuan, aktiviti berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan meskipun belum cukup setahun ia diperkenalkan di pantai peranginan Port Dickson.

“Purata sebulan kita dapat hampir 100 orang pelanggan tanpa mengira jantina. Rata-rata mereka memang memberi maklum balas positif malah ada yang banyak kali datang kerana gemarkan aktiviti itu, ” tambahnya.

Seorang guru, Mohd Razif Hafez Ab Jalil yang sempat ditemui di pantai Bagan Pinang berkongsi pengalamannya melakukan aktiviti memancing menggunakan kayak yang disifatkannya sangat mencabar.

“Memancing menggunakan kayak memberikan saya pengalaman serta kepuasan tersendiri berbeza berbanding memancing biasa.

“Ia memang mencabar, dengan ombaknya, mabuk laut dan sebagainya. Ikan belum tentu dapat, tapi kepuasan itu tak sama dan apa yang pasti ia mampu menghilangkan stres bekerja saya,” kata kaki pancing berasal dari Negeri Sembilan ini.

Setiap hari minggu, Mohd Razif pasti ke pantai Bagan Pinang untuk aktiviti memancing menggunakan kayak dan meskipun ada hari beliau tidak langsung mendapat seekor ikan pun tetapi hatinya tetap puas.

Aktiviti memancing menggunakan kayak dibuka setiap hari bermula pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang dengan kadar sewaan RM80 seorang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata inisiatif menyediakan khidmat sewaan kayak mancing itu mampu menjana pendapatan penduduk setempat sekali gus dapat mempopularkan aktiviti eko pelancongan di daerah itu.

“Kami dapati Bagan Pinang menjadi tumpuan pemancing menggunakan kayak yang amat popular dan menjadi trend sejak kebelakangan ini. Tambahan, masyarakat nelayan di sini ada menawarkan perkhidmatan sewaan kayak dan kreatif membina unjam di kawasan pesisiran pantai Port Dickson sebagai lubuk tumpuan pemancing kayak.

“Ini suatu inisiatif dan idea yang bernas. Justeru kita akan sentiasa membantu dari segi mempertingkatkan kemudahan yang dapat melancarkan lagi aktiviti nelayan, termasuk perikanan rekreasi yang giat dijalankan mereka,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com