Site icon Malaysia now

Matta sambut baik bantuan RM2 juta kerajaan Sabah kepada agensi pelancongan

Sabah mengumumkan bantuan langsung sebanyak RM2 juta kepada agensi pelancongan di negeri itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyambut baik bantuan langsung bernilai RM2 juta kerajaan Sabah kepada agensi pelancongan di negeri itu dengan berkata, ia adalah antara yang tertinggi di negara ini.

Presidennya, Tan Kok Liang berkata, bantuan tepat masa itu akan membantu syarikat pelancongan yang mengalami kesukaran dari segi kewangan, terutama semasa musim perayaan.

Beliau berkata, insentif tunai itu akan menjadi penggalak semangat kepada operator pelancongan dan kembara supaya terus bertahan, selain menghidupkan semula syarikat mereka.

“Kami menghargai geran khas RM4,000 kepada syarikat pelancongan yang berdaftar dan berpangkalan Sabah. Ia adalah tanda sokongan pada waktu yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

Matta mempunyai lebih 500 ahli yang merupakan agensi pelancongan yang berdaftar di Sabah.

“Insentif tunai secara ‘one-off’ adalah satu pengiktarafan bahawa pengusaha pelancongan dan kembara memainkan peranan penting dalam usaha promosi di peringkat domestik dan antarabangsa bersama-sama kerajaan negeri.”

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Jafry Ariffin semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menawarkan bantuan secara “one-off” kepada 503 agensi pelancongan di Sabah.

Jafry berkata, dana berkenaan berjumlah lebih RM2 juta terletak di bawah “Sabah New Deal” untuk aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), selain peruntukan sedia ada daripada kementeriannya.

Tan juga berterima kasih atas geran bernilai RM30,000 kepada persatuan itu cawangan Sabah, termasuk bantuan RM10,000 untuk program latihan.

“Negeri lain harus mencontohi kerajaan Sabah. Mereka harus menyedari bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam pelancongan merupakan bahagian penting ekosistem pelancongan secara keseluruhan.

“PKS terbabit mempromosi negeri ini selama lebih 30 tahun lalu, selain menyediakan pekerjaan seperti pemandu pelancong dan pemandu.

“Malangnya, kerajaan persekutuan dan kebanyakan kerajaan negeri dilihat mengabaikan nasib mereka,” katanya.