Maradona, 60, kapten pasukan bola sepak Mexico 1986 dan bintang Piala Dunia, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Nov.
Pendakwa raya bandar San Isidro di utara ibu negara, Buenos Aires, menyiarkan hasil laporan bedah siasat Maradona, yang dilakukan bagi memastikan tiada unsur kecuaian dalam penjagaan kesihatannya.
Pada akhir hayatnya, Maradona mengalami pelbagai penyakit termasuk sirosis, penyakit jantung, dan kegagalan buah pinggang.
Analisis toksikologi tidak menunjukkan kehadiran alkohol atau narkotik dalam darah dan air kencingnya, namun Maradona mengambil ubat anti-depresan dan anti-psikotik, selain pelbagai ubat lain untuk merawat ulser, konvulsi, dan sembelit.
Ketika hayatnya, Maradona pernah bergelut dengan ketagihan kokain dan alkohol.
“Hasil analisis makmal ini penting kerana mengesahkan Maradona memang diberikan ubat psikotropik tetapi bukan untuk penyakit jantung,” kata seorang penyiasat kepada agensi berita Telam.
Pakar psikiatrik Agustina Cosachov dan pakar jantung Leopoldo Luque yang merawat Maradona sebelum kematiannya kini disiasat.
Bedah siasat pertama yang dilakukan pada hari kematiannya mendapati paru-parunya berair selain mengalami kegagalan jantung akut. Jantungnya juga dua kali ganda berat biasa.
Maradona menjalani pembedahan kerana pendarahan di otak pada 3 Nov, lima hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-60.
Maradona antara pemain bola sepak terhebat dunia, malah dilihat sebagai legenda di negara asal selepas memberikan kemenangan untuk pasukannya dalam Piala Dunia 1986.
Beliau juga ikon di Naples selepas membantu Napoli memenangi dua Serie A.