Site icon Malaysia now

Malaysia kecam klip video ubah lirik lagu Indonesia Raya

Kedutaan Besar Malaysia berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat video tular provokasi negatif itu yang cuba menjejaskan hubungan antara dua negara. (Gambar Facebook) 

JAKARTA: Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video, yang menghina negara itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam ini, menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan sebuah video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekahkan dan menghina Indonesia.

“Sekiranya video itu didapati dimuat naik oleh warganegara Malaysia, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Satu video, dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean pada ruangan komen, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara itu.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.