PETALING JAYA: Aktivis hak asasi manusia mengejek pengumuman Putrajaya bahawa ia menyasarkan kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) bagi sesi 2022-2024, dengan berkata, kerajaan perlu menangani masalah dalam negara terlebih dahulu.
Pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira dan pengarah Tenaganita Glorene Das berkata, terdapat isu hak asasi manusia yang lebih mendesak di negara ini yang tidak ditangani, sekali gus menunjukkan ironi keadaan itu.
Mereka memberitahu Putrajaya supaya “menyelesaikan masalah dalam negara terdahulu” sebelum cuba memikul tugas sama di pentas antarabangsa.
“Malaysia memalukan dirinya sendirinya. Kita berdepan dakwaan amalan buruh paksa hampir di setiap sektor dan kita hampir tergelincir ke kelompok 3 dalam laporan pemerdagangan manusia (TIP).
“Kita enggan menandatangani banyak konvensyen PBB dan gagal melaksanakan konvensyen yang telah diratifikasi, termasuk konvensyen Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO).
“Justeru, baiklah kita menyelesaikan masalah dalam negara terlebih dahulu atau kita akan dilabel sebagai hipokrit,” kata Pereira kepada FMT.
Das berkata Putrajaya harus mengalihkan fokusnya kepada usaha menangani isu hak asasi manusia yang sedia ada, bukannya menjalankan “eksesais perhubungan awam”.
Beliau berkata, usaha menyasarkan kerusi dalam majlis itu tidak akan menyelesaikan isu hak asasi manusia dalam negara, selain menambah bahawa Malaysia pernah menganggotai majlis itu sebelum ini.
“Tetapi apakah kelebihan yang dibawanya dalam isu hak asasi manusia yang kita hadapi? Terdapat bukti yang mencukupi bahawa hak asasi manusia di negara ini keutamaan, jadi apakah yang kita tunjukkan di sini?
“Kita mendiskriminasi pelarian dan pekerja asing serta mempunyai rekod dan laporan mengenai amalan buruh paksa dan pemerdagangan manusia.
“Ahli politik dan pegawai terlibat dalam rasuah, tetapi dilepaskan dengan mudah. Kanak-kanak ditempatkan di pusat tahanan, hak pekerja tidak dilindungi…dan banyak lagi contoh.
“Walaupun kita berniat untuk dilihat hebat di platform antarabangsa, namun banyak perkara yang perlu dilakukan di negara ini.
Selesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyasarkan kerusi itu. Hentikan drama di peringkat antarabangsa ini,” katanya kepada FMT.
Menteri Luar Hishammuddin Hussein semalam berkata Malaysia menyasarkan kerusi dalam UNHRC bagi sesi 2022-2024
“HRC mewakili semangat multilateralisme yang terus diperjuangkan oleh Malaysia. Sebagai anggota HRC Malaysia akan terus bekerja rapat dengan semua peserta dalam usaha membangunkan hak asasi manusia di negara ini dan di peringkat dunia,” katanya.