Site icon Malaysia now

Mahkamah Persekutuan benarkan jaminan ejen hartanah hadapi tuduhan keselamatan

PUTRAJAYA: Selepas ditahan reman tiga tahun setengah, seorang bekas ejen hartanah dibenarkan jaminan oleh Mahkamah Persekutuan sementara menunggu keputusan kes membabitkan tuduhan keselamatan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, membenarkan Koh Chin Wah dilepaskan atas jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Rohana Yusuf dan Vernon Ong Lam Kiat, juga memerintahkan Koh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya seminggu sekali.

Panel hakim bagaimanapun menolak permohonan pendakwaan untuk memakaikan peranti elektronik bagi membolehkan polis menjejak pergerakannya.

Keputusan membenarkan jaminan untuk Koh, 54, yang dibawa dari penjara Sungai Buloh, dibuat mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

Selepas membayar jaminan, Koh pulang ke Johor Bahru bersama anggota keluarganya.

Koh didakwa memperdagangkan rakyat Taiwan, Peter Loo Chin Choy, menggunakan pasport Malaysia di imigresen Kuala Lumpur pada 3 Jul 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini menolak permohonan jaminan Koh kerana tuduhan didakwa dilakukannya tersenarai sebagai kesalahan keselamatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) atau SOSMA, iaitu satu undang-undang prosedur.

Terdahulu, peguam bela Rajpal Singh berhujah Seksyen 13 SOSMA bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan kerana mengetepikan budi bicara kehakiman untuk mempertimbangkan pemberian jaminan.

“Mahkamah boleh mendengar dan memutuskan permohonan jaminan, sekalipun seorang tertuduh didakwa mengikut SOSMA,” kata Rajpal, yang dibantu peguam Harpal Singh.

Menurutnya, Koh tidak bersalah selagi tuduhan terhadapnya berjaya dibuktikan, susulan itu hak kebebasannya dinafikan selagi dia ditahan reman.

Rajpal berkata, tahun lalu Mahkamah Tinggi memutuskan hakim boleh mempertimbangkan permohonan jaminan sekalipun tertuduh didakwa kesalahan berkaitan keganasan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, kehakiman sebagai cabang bebas kerajaan wujud untuk mengimbangkan sebarang kelampauan dilakukan badan perundangan serta eksekutif.

“Prinsip pengasingan kuasa adalah ciri negara moden,” kata Nazlan, ketika membenarkan hujah perlembagaan dikemukakan bekas EXCO Melaka, G Saminathan, yang didakwa bersama 11 yang lain atas tuduhan menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tami Eelam (LTTE).

Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron membantah permohonan jaminan Koh kerana tidak memenuhi pengecualian mengikut Seksyen 13 (1) SOSMA, iaitu bagi tertuduh berusia bawah 18 tahun, seorang wanita, atau menghidap penyakit atau tidak berdaya.

Sementara itu, Rajpal yang ditemui kemudian memberitahu FMT bahawa Mahkamah Persekutuan nampaknya bersetuju dengan keputusan Nazlan.

“Bagaimanapun, mereka menggunakan peruntukan am dalam Kanun Acara Jenayah untuk membenarkan jaminan,” katanya.

Harpal berkata, Koh diarahkan mengemukakan pembelaannya dan perbicaraan akan diteruskan di depan Hakim Colin Lawrence Sequerah pada 4 Jan.