Site icon Malaysia now

Mahkamah berhak benarkan jaminan untuk ejen hartanah berdepan tuduhan SOSMA, kata bekas hakim

Bekas hakim, Gopal Sri Ram anggap sebagai tepat, tindakan Mahkamah Persekutuan tidak mengendahkan sekatan jaminan dikenakan Parlimen.

PETALING JAYA: Seorang bekas hakim berkata Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tepat apabila membenarkan jaminan kepada seorang bekas ejen hartanah walaupun dia berdepan pertuduhan diklasifikasikan sebagai kesalahan keselamatan mengikut undang-undang persekutuan.

Gopal Sri Ram berkata budi bicara untuk membenarkan jaminan adalah kuasa badan penghakiman, malah perkara itu berdasarkan penghakiman Majlis Privi 20 tahun lalu.

Susulan itu, katanya, sebarang peruntukan undang-undang yang melucutkan hak mahkamah untuk mendengar permohonan jaminan adalah bertentangan dengan perlembagaan.

“Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan secara keseluruhannya tepat untuk tidak mengendahkan sekatan jaminan yang dikenakan Parlimen,” kata Sri Ram yang sudah bersara sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Sri Ram berkata tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Beliau berkata demikian selepas panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam memilih untuk menggunakan Seksyen 388, peruntukan am mengikut Kanun Prosedur Jenayah, untuk membenarkan ikat jamin Koh Chin Wah.

Lelaki berusia 56 tahun itu dipenjara tiga tahun setengah kerana didakwa menyeludup pendatang asing yang disenaraikan sebagai kesalahan keselamatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) (SOSMA), satu undang-undang prosedur.

Koh didakwa memperdagangkan rakyat Taiwan, Peter Loo Chin Choy, menggunakan pasport Malaysia di imigresen Kuala Lumpur pada 3 Jul 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Peguam bela Rajpal Singh berhujah Seksyen 13 SOSMA bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan kerana mengetepikan budi bicara kehakiman untuk mempertimbangkan pemberian jaminan.

“Mahkamah boleh mendengar dan memutuskan permohonan jaminan, sekalipun seorang tertuduh didakwa mengikut SOSMA,” kata Rajpal, yang dibantu peguam Harpal Singh.

Rajpal berkata, tahun lalu Mahkamah Tinggi memutuskan hakim boleh mempertimbangkan permohonan jaminan sekalipun tertuduh didakwa kesalahan berkaitan keganasan.

Beliau merujuk kepada kenyataan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam satu keputusan yang mengatakan, kehakiman sebagai cabang bebas kerajaan wujud untuk mengimbangkan sebarang kelampauan dilakukan badan perundangan serta eksekutif.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata semua orang yang ditahan penjara kerana didakwa menyeludup pendatang asing boleh memohon jaminan dan kekal bebas sehingga mahkamah membuat keputusan.

“Seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah dan penolakan jaminan adalah kekangan terhadap kebebasan seseorang,” katanya, sambil menambah, beliau tidak menganggap penyeludupan manusia adalah satu ancaman serius terhadap keselamatan negara.

Rafique berkata mahkamah boleh mengenakan banyak syarat kepada tertuduh untuk diikat jamin.

“Mahkamah juga boleh memerintahkan tertuduh untuk tinggal di dalam rumah bagi tempoh tertentu atau memasang alat pemantauan elektronik,” katanya.

Rafique berkata, beliau percaya mahkamah juga membenarkan jaminan kepada Koh kerana terdapat laporan peningkatan kes Covid-19 membabitkan tahanan penjara.