Site icon Malaysia now

Mahkamah Austria tarik balik larangan tudung budak perempuan bawah 10 tahun

Undang-undang melarang pemakaian tudung bagi budak perempuan di bawah usia 10 itu dicabar dua kanak-kanak dan ibu bapa mereka. (Gambar AFP)

VIENNA: Mahkamah Perlembagaan Austria pada Jumaat membatalkan undang-undang diluluskan tahun lalu yang melarang pemakaian tudung di sekolah rendah dengan berkata, peraturan itu bercanggah dengan perlembagaan dan merupakan satu bentuk diskriminasi.

Dalam kenyataan yang menjelaskan keputusannya, mahkamah itu berkata undang-undang berkenaan “bercanggah dengan prinsip kesaksamaan berhubung kebebasan agama, kepercayaan dan hati nurani”.

Ia melarang budak perempuan di bawah usia 10 tahun daripada memakai tudung dan dicabar oleh dua kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Peraturan berkenaan diluluskan pada Mei 2019 di bawah bekas kerajaan Parti Rakyat (OeVP) berhaluan kanan- tengah dan Parti Kebebasan (FPOe) sebelum ia jatuh susulan skandal rasuah.

Kedua-dua parti itu menyebarkan retorik anti imigresen dan memberi amaran berhubung “masyarakat selari” sebagai sebahagian mesej politik utama mereka.

Jurucakapnya secara jelas menyebut bahawa undang-undang itu menyasarkan tudung.

Bagaimanapun, teks undang-undang berkenaan cuba mengelakkan dakwaan diskriminasi dengan melarang “pakaian menutup kepala yang dipengaruhi oleh ideologi atau agama”.

Mahkamah bagaimanapun berkata, undang-undang berkenaan hanya boleh difahami sebagai peraturan yang menyasarkan amalan menutup kepala dalam Islam.

Kerajaan OeVP-FPOe berkata, pakta dan kippa yang digunakan budak lelaki Sikh dan Yahudi untuk menutup kepala tidak terjejas.

Kerajaan gabungan parti OeVP dan Hijau yang mengambil alih kuasa pada Jan bercadang untuk melanjutkan larangan tersebut kepada budak perempuan di bawah usia 14 tahun.