Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cenang, Langkawi kira-kira 2 petang semalam oleh pasukannya susulan risikan dan siasatan yang dibuat.
“Sebanyak 35 lagi laporan yang melibatkan kejadian pemerasan yang sama dibuat oleh mangsa berlainan di kawasan Damansara, Kota Damansara dan Sungai Way diterima sejak awal bulan ini sehingga Rabu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam laporan terbaru, seorang wanita mendakwa menerima mesej pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang memintanya memasukkan wang tunai sebanyak RM10,000 ke dalam satu akaun tempatan dan jika tidak ditunai, dia akan dibunuh.
Menurutnya ugutan sama juga turut diterima oleh mangsa yang lain.
Pihaknya turut merampas empat unit telefon bimbit dan sekeping kat ATM daripada suspek ketika ditahan, katanya.
Nik Ezanee berkata siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mengaku melakukan jenayah pemerasan dan mendakwa bahawa telefonnya digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, katanya hasil pemeriksaan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan perjudian.
Lelaki terbabit direman tiga hari bermula hari ini hingga Selasa dan disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.