Site icon Malaysia now

Kumpulan wanita bidas lelaki hanya didenda RM2,000 tumbuk mangsa bunyikan hon

Tangkap layar daripada klip video yang dimuat naik mangsa di Facebooknya.

PETALING JAYA: Seorang aktivis hak wanita mengkritik denda RM2,000 dikenakan ke atas seorang lelaki yang menyerang seorang wanita membunyikan hon terhadapnya, serta berkata langkah itu menghantar mesej tidak baik kepada rakyat.

Pengurus Program dan Operasi Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM), Nisha Sabanayagam menyifatkan kejadian itu “mengerikan” dengan hukuman sepatutnya disertakan penjara dan khidmat masyarakat, serta syarat untuk menghadiri kaunseling menangani kemarahan.

Beliau mengulas kes seorang lelaki disabitkan bersalah kerana mendatangkan kecederaan dengan menumbuk seorang wanita yang membunyikan hon terhadapnya berulang kali di muka, selepas mangsa selesai meletakkan keretanya.

“Dengan tidak memberikan hukuman setara kepada jenayah itu, hakim menghantar mesej sistem perundangan menganggap bentuk keganasan berdasarkan jantina ini sebagai jenayah kecil-kecilan. Ini menunjukkan nilai wanita dalam masyarakat direndah-rendahkan dan sikap berat sebelah mereka terhadap lelaki,” katanya kepada FMT.

“Sekiranya mangsa adalah lelaki, kemungkinan dia yang dipukul sedemikian lebih kecil. Undang-undang dibuat untuk mencegah, bukan sekadar saluran formaliti bagi menunjukkan kita mempunyai struktur undang-undang tertentu.”

Sheena Gurbakhash, presiden Persatuan Peguam Wanita, berkata masih ada ruang untuk mangsa mengambil tindakan sivil terhadap pelaku.

“Terdapat kesalahan yang boleh dikenakan tindakan sivil untuk serangan, jadi jika anda memukul seseorang, mereka boleh saman anda di bawah kesalahan berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian sivil.

Roger Chan, peguam hak asasi manusia, berkata walaupun denda RM2,000 itu adalah hukuman maksimum di bawah Kanun Keseksaan untuk kesalahan terbabit, pihak pendakwaan mempunyai pilihan untuk menaikkan tahap hukuman.

“Jika pihak pendakwaan berpendapat sesuatu hukuman tidak memadai, mereka boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi untuk meningkatkan hukuman, termasuk mengenakan hukuman penjara.”