Site icon Malaysia now

Kumpulan pengguna gesa pembeli rumah lapor pemaju kepada polis

Jayainthy Subramaniam berkata, rumah satu tingkat barunya dilelong, walaupun beliau sudah membuat bayaran kepada pemaju.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pengguna menggesa seorang wanita di Kedah yang ditipu untuk keluar dari rumahnya, membuat laporan terhadap pemaju dan lembaga pengarah syarikat terbabit.

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong berkata, Jayainthy Subramaniam perlu membuat laporan polis terhadap pemaju itu kerana terdapat unsur penipuan dan jenayah pecah amanah dalam dakwaannya terhadap pemaju terbabit.

Jayainthy memberitahu FMT, rumahnya di Lunas, Kedah dilelong sebuah bank kerana bayaran berperingkat (progress payment) kepada pemaju, Lunas Garden Sdn Bhd, didakwa tidak pernah sampai kepada bank.

Apabila beliau mahu menuntut hartanah itu, katanya, bank memintanya membayar wang penebusan, faedah tertunggak dan caj lain kira-kira RM100,000 selepas menunjukkan bukti dalam bentuk resit semua bayaran dibuat kepada pemaju terbabit.

Chang Kim Loong.

Chang berkata, persatuan pembeli rumah biasanya menasihatkan pembeli rumah untuk melakukan pembelian melalui pinjaman kecil, walaupun mereka mempunyai wang tunai mencukupi.

“Anda tidak perlu mengambil pinjaman 100%, tetapi mengambil pinjaman pembiayaan akhir supaya bank yang akan membuat semua usaha wajar dan anda dapat berurusan dengan bank yang beroperasi dalam suasana yang sangat terkawal.”

Katanya, dalam kes Jayainthy, bank yang menyediakan pembiayaan penyambung kepada pemaju mungkin tidak menyedari beliau sudah membuat bayaran berperingkat.

Beliau berkata, pembeli tunai meletakkan diri dalam risiko tinggi, jika mereka tidak tahu cara menjaga kepentingan sendiri.

Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, masalah Jayainthy dapat dielakkan sekiranya bank melakukan amalan proses sewajarnya.

Ketua Biro Pengaduan CAP, Ravinder Singh berkata, bank mesti meminta pemaju perumahan mengambil pinjaman dengan mereka, sekiranya ada pembeli tunai.

“Bank, selepas mendapat tahu mengenai pembeli tunai, mesti memberitahu mereka wang penebusan perlu dibayar untuk rumah yang akan dipindahkan ke atas nama mereka.

“Dalam kes Jayainthy, nampaknya bank itu tidak mengambil inisiatif berbuat demikian. Berikutan perbuatan tidak jujur pelanggan bank, seorang pembeli tunai menjadi mangsa. Beliau bukan orang yang menipu bank itu, tetapi pemaju yang berbuat demikian.”

Ravinder berkata, walaupun bank tidak tahu mengenai perjanjian pembelian hartanah itu, pembeli juga tidak tahu mengenai perjanjian pembiayaan penyambung.

“Oleh itu, proses sewajarnya adalah penting,” katanya.