Site icon Malaysia now

Ku Nan fail rayuan ketepi sabitan rasuah RM2 juta

Tengku Adnan Mansor, 70, semalam, dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM2 juta kerana menerima wang daripada seorang peniaga pada 2016. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor yang didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukumannya semalam.

Timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim berkata, pihaknya menerima makluman mengenai notis rayuan itu, hari ini.

“Notis difailkan melalui e-pemfailan petang semalam,” katanya.

Memandangkan rayuan sudah difailkan, Mahkamah Tinggi perlu menyediakan rekod rayuan merangkumi penghakiman, nota keterangan dan bahan bukti.

Semalam, hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

Ahli Parlimen Putrajaya berusia 70 tahun itu semalam dihukum penjara dan denda RM2 juta kerana menerima wang berkenaan daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong pada 2016.

Ku Nan menerima wang itu daripada Chai yang juga pengarah Aset Kayamas, walaupun mengetahui syarikat milik ahli perniagaan terbabit berurusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan yang ketika itu bawah kuasanya.

Hakim berkata, selepas meneliti sepenuhnya bukti terhadap pembelaan, tertuduh bukanlah orang yang diberi kepercayaan untuk mengumpulkan dana bagi dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

Zaini dalam penghakimannya berkata, Ku Nan tiada sebab sahih untuk mengumpulkan wang bagi dua pilihan raya kecil berkenaan kerana kawasan terbabit bukan bawah kuasanya sebagai pengerusi UMNO dan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan ketika itu.

“Lagipun beliau bukan bendahari (UMNO) seperti didakwa,” kata hakim.

Katanya, beliau juga sukar menerima keterangan dua saksi pembela iaitu Rizalman Mokhtar, bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, dan ketua UMNO bahagian Simpang Renggam ketika itu, Zakaria Dullah.

Zaini berkata, pada pandangannya keterangan mereka direka-reka selepas kejadian dalam usaha menguatkan pembelaan tertuduh.

Katanya, RM2 juta diberikan Chai kekal dengan Tadmansori Holdings Sdn Bhd untuk manfaat tertuduh. Mahkamah turut dimaklumkan Ku Nan adalah pemegang saham majoriti syarikat berkenaan.

“Jadi jelas tertuduh berselindung di sebalik Tadmansori untuk meraih hasil daripada perbuatan jenayahnya”.

Sementara itu, FMT difahamkan Pejabat Peguam Negara turut meneliti penghakiman Zaini untuk mempertimbangkan sama ada hukuman terhadap Ku Nan terlalu ringan dan perlu dirayu.