Site icon Malaysia now

KPKT sedia SOP rumah pekerja dalam tapak bina

Sepanjang tempoh penularan Covid-19, beberapa kes kluster tapak bina yang dikesan menunjukkan pekerja tapak bina terutama warga asing adalah golongan berisiko dijangkiti.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) permohonan permit sementara bangunan bagi rumah pekerja dalam tapak bina, susulan kewujudan banyak kluster Covid-19 membabitkan kawasan berkenaan.

Menteri Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi menyokong penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang dijangka dapat mencegah penularan wabak penyakit selaras dengan Syor 115 (Syor Perumahan Pekerja 1961) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau berkata, sepanjang tempoh penularan Covid-19, beberapa kes kluster tapak bina yang dikesan menunjukkan bahawa pekerja tapak bina, terutama warga asing adalah golongan yang berisiko dijangkiti.

“Risiko penularan semakin serius disebabkan oleh kaedah penginapan secara beramai-ramai atau bersesak-sesak dalam satu-satu unit kediaman, selain tahap kebersihan premis yang rendah,” katannya dalam kenyataan.

Zuraida Kamaruddin.

Katanya, SOP ini menterjemahkan dengan lebih jelas peruntukan undang-undang sedia ada yang terdapat dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984).

“Beberapa penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan digariskan dalam prosedur berkenaan, antaranya adalah penyediaan carta alir yang seragam dan penyelarasan senarai semak dokumen serta permohonan Kebenaran Khas memulakan kerja bangunan secara serentak dengan permohonan permit sementara.

“Turut digariskan penyediaan senarai semak pematuhan kehendak bomba sebelum pengemukaan permohonan kepada PBT, pengecualian rujukan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan ulasan serta pengurangan tempoh proses kelulusan permit sementara dari 33 hari kepada 10 hari,” katanya.

Zuraida mengingatkan supaya pemaju dan semua profesional yang berkaitan perlu lebih kompeten dalam mematuhi kehendak peruntukan undang-undang dan peraturan selaras dengan SOP disediakan, agar matlamat utama bagi mengekang penularan Covid-19 terutama di tapak bina dapat dicapai sepenuhnya.