Site icon Malaysia now

Kota Kinabalu bakal dapat Datuk Bandar wanita?

Ketua Pengarah DBKK, Noorliza Awang Alip dijangka menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar bandar raya itu. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Buat pertama kali sejak diisytiharkan sebagai bandar raya 20 tahun lalu, Kota Kinabalu dijangka mendapat seorang Datuk Bandar wanita.

Difahamkan, Noorliza Awang Alip yang kini merupakan ketua pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima jemputan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong, untuk menerima watikah perlantikan di pejabat ketua menteri pada Isnin.

Difahamkan surat jemputan itu tidak menyatakan jawatan yang bakal diterimanya, namun sumber memberitahu Noorliza bakal dilantik sebagai Datuk Bandar.

Surat berkenaan hanya menyatakan bahawa Ketua Menteri Hajiji Noor bersetuju berhubung penyerahan watikah pelantikan di pejabat beliau, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

“Memang benar ada surat jemputan daripada SKN untuk Noorliza, namun tidak dinyatakan beliau akan dilantik sebagai Datuk Bandar.

“Bagaimanapun, ramai yang menganggap beliau (Noorliza) akan dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu, seperti mana Yeo Boon Hai yang dilantik pada 2016 juga merupakan ketua pengarah DBKK pada waktu itu,” kata sumber yang enggan dikenali.

Sekiranya benar, Noorliza akan menjadi wanita pertama menjawat jawatan Datuk Bandar Kota Kinabalu menggantikan Nordin Siman yang memegang jawatan itu sejak 31 Dis 2018.

Selain Nordin, turut pernah menjadi Datuk Bandar ialah Abd Ghani Abd Rashid (2000-2005), Iliyas Ibrahim (2005-2011), Abidin Madingkir (2011-2016) dan Yeo Boon Hai (2016-2018).