Site icon Malaysia now

KKM, polis jejak dalang palsu ujian Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata makmal swasta yang digunakan KKM akan sentiasa diperiksa dan diaudit secara berkala bagi memastikan setiap ujian dijalankan menepati standard ditetapkan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Sumber Manusia bagi mencari dalang aktiviti pemalsuan laporan keputusan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang dan tindakan tegas akan dikenakan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“KKM akan bekerjasama rapat dengan polis dan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan isu ini dapat dirungkai. Polis mempunyai kepakaran risikan bagi menyiasat kes ini.

“Ini satu kesalahan kalau ia dipalsukan, tindakan boleh diambil mengikut Akta 342 dan akta lain,” katanya pada sidang media.

Beliau turut memaklumkan, makmal swasta yang digunakan KKM akan sentiasa diperiksa dan diaudit secara berkala bagi memastikan setiap ujian dijalankan menepati standard ditetapkan.

“Kita juga akan guna sistem makmal kesihatan awam untuk mengenal pasti kalau ada kes dipalsukan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah klinik swasta di Rawang membuat laporan polis selepas mendapati keputusan Covid-19 dijalankannya dipalsukan.

Pengasas SP Care Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, mereka mengenal pasti hampir 20 kes pemalsuan keputusan Covid-19.

Kliniknya mula membuat ujian ujian Covid-19 sejak awal April lalu.

Longgar syarat individu dalam pengawasan

Sementara itu, Noor Hisham berkata kelonggaran diberikan kepada individu dalam pengawasan (PUS) untuk menjalankan urusan, bukan perkara baru dan dibenarkan sejak awal penularan Covid-19.

Katanya, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan menilai permohonan individu PUS untuk melaksanakan urusan tertentu sepanjang tempoh pengawasan termasuk ziarah kematian atau melawat ahli keluarga di hospital.

“Ketua pengarah kesihatan akan menjalankan penilaian risiko terhadap kes itu dan mensyaratkan tindakan seharusnya dijalankan. Antara syarat tertentu itu, individu terbabit akan ditemani petugas kesihatan untuk melawat atau melaksanakan tugas berkenaan.

“Contohnya, ketika Pilihan Raya Negeri di Sabah, kita benarkan kes PUS untuk mengundi dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE). Ia bukan perkara baru dan dilaksanakan sejak hari pertama lagi (penularan) PUS dibenarkan memohon diberikan masa melawat atau menjalankan sesuatu tugas,” katanya.

Beliau mengula mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang mempersoalkan keputusan Ahli Parlimen menjalani perintah pengawasan di rumah (HOS) dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk mengundi dengan memakai PPE.