Site icon Malaysia now

Kita tak boleh sekat pergerakan orang ramai untuk selama-lamanya, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata banyak negara tiada kawalan pergerakan seperti Taiwan tetapi rakyatnya berdisiplin dan mengawal diri sendiri sehingga kes Covid-19 tidak merebak di negara itu.

ARAU: Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan pergerakan orang ramai untuk selama-lamanya ekoran pandemik Covid-19 dan menyeru rakyat mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat perlu mengawal diri dan elak daripada dijangkiti virus tersebut.

Beliau berkata, banyak negara yang tiada kawalan pergerakan, misalnya, Taiwan, tetapi rakyatnya berdisiplin dan mengawal diri mereka sendiri sehingga kes Covid-19 tidak merebak di negara berkenaan.

“Akhirnya kita perlu biarkan mereka (rakyat) bebas juga kerana Covid-19 akan sentiasa ada di sekeliling kita seperti penyakit denggi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Arau.

Hadir sama, Menteri Besar Azlan Man, Panglima Tentera Darat (PTD) Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz.

Mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini, Ismail berkata, jumlah tersebut dikesan meningkat selepas kerajaan mewajibkan saringan terhadap semua pekerja asing di negara ini.

“Pekerja warga asing di negara ini berjumlah 888,000, bayangkan kalau 5% positif, berapa jumlahnya. Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah selagi ia tidak merebak dalam komuniti maka kita boleh kawal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerajaan akan menambah dua pos kawalan baharu di sempadan Malaysia-Thailand selain menambah pembelian peralatan baharu seperti dron bagi meningkatkan kawalan.