Site icon Malaysia now

Kit Siang gesa Speaker Dewan Rakyat tubuh jawatankuasa pilihan khas berhubung Covid-19

Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

PETALING JAYA: Peningkatan mendadak kes Covid-19 memerlukan perhatian serta merta dan langkah terbaik ialah dengan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk menangani pelbagai masalah berkaitan, kata DAP.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata Malaysia mencatatkan peningkatan harian sebanyak 1,937 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah terkumpul 82,246 kes.

“Peningkatan mendadak kes Covid-19 ini menambahkan keperluan supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19.

“Terdapat (juga) kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai vaksin Covid-19 yang dijangka akan tiba tidak lama lagi.

“Saya menyeru kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun memanggil mesyuarat khas jawatankuasa pemilih untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata mesyuarat jawatankuasa itu boleh bermula selepas Parlimen ditangguhkan pada Khamis untuk mengadakan pendengaran awam bagi mencari sebab strategi memerangi wabak itu gagal.

“(Pihak berkuasa gagal melaksanakan) pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” sehinggakan Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak dalam kes Covid-19,” katanya.

Lim berkata bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor dari Pakatan Harapan (PH), adalah calon yang ideal untuk mengetuai jawatankuasa itu dengan menambah bahawa pakar dalam bidang berkenaan mesti dirujuk untuk memberikan cara penyelesaian.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga dapat membantu mengurangkan kebimbangan orang ramai mengenai kontroversi yang semakin meningkat di Malaysia dan di seluruh dunia mengenai keselamatan vaksin Covid-19 yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan ke-80 dalam kalangan negara yang mempunyai paling banyak kes Covid-19, dan hanya berada di belakang China.

“Sekiranya peningkatan harian kes Covid-19 minggu depan terus berada dalam julat 2,000 kes sehari, maka Malaysia akan mengatasi China sebelum sesi Dewan Rakyat ditangguhkan pada Khamis.

“Pada satu masa dahulu, Malaysia dipisahkan dari China dengan lebih 60 kedudukan. Pada 1 Sept, misalnya, China mempunyai 85,058 kes Covid-19 sementara Malaysia mempunyai 9,354 kes,” kata Lim.