PETALING JAYA: Kes tembak maut membabitkan empat suspek perompak oleh polis di Sungai Buloh minggu lalu, perlu disiasat Suruhanjaya Bebas Aduan & Kesalahan Polis (IPCMC), kata seorang pemimpin DAP.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata badan sedemikian akan memastikan sebarang penyiasatan dalam bentuk inkues tidak ada isu berat sebelah.
“Saya harap siasatan susulan berkenan penembakan ini tidak berakhir dengan hanya menerima keterangan daripada pihak polis untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu. Ketiadaan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak patut menghalang siasatan adil terhadap penembakan maut empat pemuda yang berusia 20-an itu.
“Abdul Hamid Bador, Ketua Polis Negara (IGP) yang mengalu-alukan pelaksanaan IPCMC nampaknya kini agak ragu berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut polis, empat suspek terbabit enggan menghentikan kereta dan salah seorang daripadanya dilihat melibas parang ketika mereka melepaskan tembakan.
Polis kemudian mendakwa suspek terlibat dalam sekitar 50 rompakan di Selangor pada bulan Disember.
Ramasamy berkata, Pasukan Polis DiRaja Malaysia telah menempuh perjalanan yang jauh dan secara keseluruhannya lebih terdidik, profesional serta memahami sentimen masyarakat mengenai perlunya kebertanggungjawaban, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.
“Sukar difahami mengapakah polis menentang IPCMC, ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap masyarakat sedangkan pasukan polis Malaysia memiliki profesionalisme yang tinggi.
“Ya, apabila berada dalam keadaan yang mengancam keselamatan diri, polis mesti bertindak mempertahankan diri. Tetapi saya tidak pasti sama ancaman terhadap keselamatan diri memang berlaku dalam semua les penembakan polis,” katanya.
Ramasamy berkata, jika pasukan polis terdiri daripada pegawai yang berpendidikan tinggi dan cenderung bersikap profesional, tiada apa yang perlu ditakuti dalam siasatan terbuka dan telus.
“Inilah tujuan IPCMC. Kes ini dan banyak lagi yang lain sebelumnya menimbulkan persoalan mengenai tingkah laku pasukan polis secara umum.
“Bukannya saya tidak mahu menerima kenyataan polis mengenai perkara itu, tetapi saya rasa siasatan yang saksama masih diperlukan. Hasil siasatan ini mungkin menyokong keterangan anggota terbabit atau sebaliknya. Tetapi kepentingan awam menuntut siasatan yang saksama.
“Ketiadaan inkuiri bebas menimbulkan persoalan terhadap kesaksamaan siasatan polis. Ketiadaan saksi dan ketakutan orang tampil memberi keterangan juga menyukarkan siasatan.”
Selain itu, beliau memetik satu lagi isu yang dianggap penting diberi perhatian iaitu sikap gemar mengaitkan sesuatu perbuatan dengan bangsa atau agama tertentu, terutama kecenderungan mengaitkan kumpulan etnik atau sosial dengan perlakuan jenayah.
“Perspektif tak berasas seperti ini mesti dielakkan. Jenayah tidak mengenal bangsa atau agama, malah juga tidak terikat semata-mata dengan kelas tertentu, walaupun boleh dikatakan penglibatan lebih tinggi dalam kalangan kelas masyarakat kurang bernasib baik atau kurang berilmu.
“Dari sudut sosiologi, jenayah adalah akibat keadaan sosial, ekonomi dan politik. Jenayah tidak dapat diselesaikan dengan mengambil tindakan drastik dan kejam seperti menghapuskan penjenayah yang disyaki.
“Kesimpulanya, pihak polis tidak harus mengambil alih peranan pihak atau jabatan lain untuk menuntut, membela dan menjatuhkan hukuman,” katanya, sambil menambah bahawa arahan untuk membunuh mesti menjadi pilihan terakhir.