Site icon Malaysia now

Kes dera, aniaya dan abai kanak-kanak catat trend menurun, kata timbalan menteri

Antara punca penderaan kanak-kanak ialah keluarga mengalami masalah kewangan, ibu bapa terlibat kes dadah dan mempunyai masalah mental. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan trend penurunan berbanding 6,061 kes tahun lalu dan 5,578 kes pada 2018.

Katanya, terdapat 1,703 kes penderaan fizikal pada 2018 berbanding 1,571 kes tahun lalu dan 1,120 kes sehingga September tahun ini.

“Jumlah kes penderaan seksual pada 2018 mencatatkan 1,705 kes, pada 2019 berjumlah 1,865 kes dan sehingga September tahun ini berjumlah 1,373 kes.

“Bagi penderaan emosi pula, pada 2018 berjumlah 124 kes, 2019 berjumlah 113 kes dan sehingga September lalu berjumlah 131 kes. Sementara pengabaian pada 2018 berjumlah 2,046 kes, 2019 berjumlah 2,521 dan 1,251 kes sehingga September lalu,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai jumlah kes penderaan kanak- kanak sehingga akhir tahun ini dan langkah yang diambil bagi mengelakkan isu penderaan kanak-kanak.

Zailah berkata, antara punca penderaan kanak-kanak ialah keluarga mengalami masalah kewangan, ibu bapa terlibat kes dadah dan mempunyai masalah mental.

Katanya, tanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada penderaan, penganiayaan dan pengabaian bukan hanya terletak pada pelindung, namun ia melibatkan pelbagai pihak seperti polis, hospital, mahkamah, NGO, ibu bapa, penjaga, kanak-kanak dan masyarakat setempat.

“Kerjasama pelbagai pihak merupakan teras utama dalam penyampaian perkhidmatan berkesan.

“Antara program dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti berikut, mewujudkan sistem semak pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak, menyediakan senarai semak atau panduan bagi pemilihan pengasuh dan mengadakan Program Pendidikan Keselamatan Keluarga.”