Site icon Malaysia now

Kes Covid-19 dijangka kekal tinggi hasil saringan pekerja asing, kata Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan berperingkat akan dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Labuan, khasnya di tapak pembinaan serta kilang.

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan kes Covid-19 kekal tinggi susulan saringan besar-besaran ke atas semua pekerja asing di beberapa negeri.

Beliau berkata, ujian saringan berperingkat akan dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Labuan, khasnya di tapak pembinaan serta kilang.

Katanya, itu sebabnya kerajaan membuka semula pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang mulai hari ini sebagai persediaan terhadap jumlah kes positif yang tinggi hasil saringan ke atas warga asing.

“Setakat ini, kita kenal pasti 80% kes positif daripada kategori 1 (tidak bergejala), manakala 14% lagi adalah kategori 2 (bergejala ringan). Dua kategori ini kita akan letakkan di pusat kuarantin ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata, kategori 1 dan 2 merangkumi 94% daripada keseluruhan kes dalam kalangan pekerja asing, manakala 5% lagi kes positif terdiri daripada kategori 3, 4 dan 5 akan ditempatkan di hospital kerajaan.

Beliau yakin hospital kerajaan mampu merawat jumlah kes itu.

Katanya, hanya 0.6% katil unit rawatan rapi (ICU) digunakan ketika ini dan masih terdapat 1,550 alat bantuan pernafasan yang belum digunakan.

Mengenai vaksin Sinovac dari China, Hisham berkata, kerajaan masih memantau kajian klinikal di Beijing.

Katanya, lapan hospital di negara ini dikenal pasti untuk mengkaji keberkesanan dan kesan sampingan vaksin itu yang dibangunkan Sinovac Biotech Co Ltd berpangkalan di Beijing.

Dalam pada itu, Hisham mengingatkan rakyat terus berdisiplin mengamalkan SOP, walaupun kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara mulai Isnin lalu, kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Katanya, kadar kebolehjangkitan atau Rt ketika ini ialah 0.96.

“Kita akan pantau dalam tempoh 2 minggu ini. Jika kes harian seperti mana kita jangkakan, iaitu kurang daripada Rt 0.9, kita boleh hidupkan kembali ekonomi kita. Namun jika bertambah, kita kena fikir strategi lain.”

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menjangkakan Rt 0.95 hingga 1.05 dengan purata 845 hingga 1,700 kes sehingga 23 Dis ini.