Site icon Malaysia now

Kerajaan timbang beri suntikan vaksin kepada semua Ahli Parlimen, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa vaksin yang beliau pengerusikan bersama menteri kesihatan akan membuat cadangan mengenai golongan yang akan diberikan keutamaan dalam suntikan vaksin.

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Putrajaya akan menimbang cadangan semua Ahli Parlimen menjadi pihak pertama diberikan suntikan vaksin COVID-19 apabila vaksin Pfizer tiba.

Kenyataan itu susulan cadangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sidang Dewan Rakyat supaya semua Ahli Parlimen kumpulan pertama diberi suntikan vaksin itu.

Khairy berkata ia merupakan cadangan yang bagus dan kerajaan akan menimbangkannya.

Dalam hantaran Twitter, menteri itu berkata ia akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan vaksin, meskipun beliau menyedari bahawa terdapat dua pandangan yang bercanggahan berhubung cadangan berkenaan.

“Kepada mereka yang menentangnya, mereka mahu ahli politik diberikan suntikan vaksin terdahulu dan sekiranya ia tiada sebarang masalah, mereka akan menerimanya.

“Kepada mereka yang yakin terhadap vaksin, mereka mahu orang lain diberikan keutamaan terdahulu manakala ahli politik menerimanya pada giliran terakhir.

“Jawatankuasa vaksin yang saya pengerusikan dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba akan membuat cadangan mengenai golongan yang akan diberikan keutamaan dalam suntikan vaksin berdasarkan penilaian risiko,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat, Khairy turut berkata Putrajaya sedang menimbang calon vaksin lain yang berada pada fasa ketiga percubaan klinikal, dan menambah keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata vaksin Pfizer terpilih kerana laporan percubaan klinikal sementara yang diterbitkan Jurnal Perubatan New England menunjukkan bahawa ia mempunyai 95% kadar keberkesanan dalam menangani COVID-19.

Beliau menambah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mula mengkaji data vaksin yang diberi Pfizer sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung penggunaan vaksin itu.