Site icon Malaysia now

Kerajaan PP tawar unit pangsapuri sementara kepada keluarga tinggal dalam kereta

Pengerusi Jawatankuasa Jagdeep Singh Deo bersama-sama Ganesh Soundarajah serta keluarganya di luar pangsapuri Rifle Range.

GEORGE TOWN: Lima sekeluarga yang berulang alik antara tandas awam dan menjadikan kereta tempat tinggal selama lapan bulan lepas setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran kini berpindah ke sebuah unit pangsapuri sementara yang disediakan kerajaan negeri hari ini.

Ganesh Soundarajah, 33, isterinya dan tiga anak berusia antara lapan bulan hingga enam tahun berpindah ke sebuah unit pangsapuri milik kerajaan di Rifle Range di Air Itam pagi tadi.

Unit itu diberikan percuma kepada mereka dan merupakan unit sementara yang disediakan untuk mangsa bencana sehingga mereka mendapat rumah baharu.

Kisah sedih Ganesh mendapat perhatian ramai selepas sebuah NGO menemui keluarga itu tinggal dalam sebuah kereta Proton Saga lama berhampiran padang polo awal minggu ini.

Ia juga mendapat perhatian dermawan dan pendakwah terkenal, Ebit Lew, yang menyumbang bantuan peralatan elektrik dan sewaan sebuah rumah selama sebulan.

Semasa menyerahkan kunci kepada Ganesh, pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo berkata, beliau terkesan selepas mendapati mereka hidup dalam kesusahan.

“Jangan anggap kami tidak berbuat apa-apa sedangkan kami berusaha seboleh mungkin untuk membantu walaupun mempunyai kekangan,” katanya, dengan menambah bahawa terdapat hanya 999 unit pangsapuri yang disediakan untuk golongan miskin atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu setakat ini.

Jagdeep bekata, kos sewa unit pangsapuri sebanyak RM90 sebulan itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Pegawai kebajikan dan kerajaan negeri serta Ganesh Soundarajah sekeluarga di pangsapuri PPR Rifle Range di Air Itam.

Katanya Pulau Pinang mempunyai bilangan unit paling sedikit, iaitu 999 unit atau 1% daripada 114,652 unit yang terdapat di seluruh negara negara.

“Kami mencadangkan lima lot tanah kerajaan negeri kepada Putrajaya untuk PPR sejak 2017, tetapi tidak ada maklum balas.

“Terdapat 772 orang dalam senarai menunggu (untuk pangsapuri PPR) sejak 1983,” katanya kepada pemberita.

Lima lot tanah yang dicadangkan terletak di Sungai Pinang, Batu Maung, Bagan Dalam, Machang Bubok dan Bukit Tambun.

Bercakap mengenai kelewatan membantu Ganesh, Jagdeep berkata, kerajaan negeri hanya menerima permohonan untuk unit perumahan kerajaan daripadanya pada Rabu (Dis 23), iaitu sehari sebelum kisahnya tersebar melalui media.

Jagdeep berkata, apabila Ganesh kehilangan rumahn dalam kebakaran pada April, pegawai kebajikan menawarkan tempat tinggal di sebuah pusat perpindahan sementara, tetapi ditolak kerana Ganesh mahu tinggal dengan saudaranya.

Ganesh berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang kerana menawarkan unit pangsapuri dan media atas laporan mereka.

Katanya, beliau membuat permohonan perumahan kerajaan melalui “pejabat YB di belakang bekas “pawagam Rex” di Kinta Lane.

Beliau kemudiannya menyerah borang berkenaan di Komtar dan diberitahu supaya “menunggu” kerana terdapat ramai orang dalam senarai menunggu.

P Murugiah dari Persatuan Hindu Pulau Pinang, yang menyemak permohonan perumahan Ganesh, diberitahu oleh seorang pegawai kerajaan bahawa borang berkenaan adalah “tidak lengkap” kerana dokumen tertentu yang diperlukan tidak disertakan.

Apabila dihubungi berhubung perkara ini, Jagdeep berkata, kerajaan Pulau Pinang menawarkan kepada Ganesh tempat tinggal di pusat pemindahan sementara pada April, tetapi beliau menolak.

Beliau berkata, Ganesh akan dimasukkan dalam senarai keutamaan pangsapuri sewa beli atau mampu milik buat masa ini.

“Kami menyediakan tempat tinggal kepadanya dalam tempoh 48 jam selepas permohonannya dibuat pada Rabu,” katanya.