Site icon Malaysia now

Kerajaan digesa lindungi pembantu rumah, pendatang asing sejajar konvensyen ILO

Persatuan Sahabat Wanita Selangor kata pekerja domestik perlu lebih perlindungan. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Satu NGO menggesa Putrajaya mengguna pakai langkah-langkah sejajar dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk melindungi pembantu rumah serta pendatang asing menjelang Hari Migran Antarabangsa, esok.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Irene Xavier, memetik Konvensyen 189 dan Konvensyen 190 ILO mengenai hak pekerja domestik serta perlindungan semua pekerja migran daripada keganasan dan gangguan.

Katanya, mengguna pakai langkah seumpama itu akan memperbaiki tahap buruh di negara ini dan memanfaatkan pekerja migran, selain meningkatkan imej Malaysia di mata pelabur antarabangsa.

Irene berkata, pekerja migran juga patut mempunyai hak untuk mengakses penjagaan kesihatan mampu milik dan meminta bantuan tanpa berdepan kebimbangan diusir dari negara ini.

“Langkah tegas dan berani yang melindungi sesiapa saja yang memasuki negara ini akan membantu Malaysia pulih lebih cepat daripada kesan pandemik, menghalang penyebaran strain baru virus korona seterusnya menghidupkan semula dan meningkatkan pembangunan ekonomi negara dalam pada kita berdepan normal baharu,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya mesti mengakui pekerja migran terutama pembantu rumah banyak terkecuali dalam Akta Pekerja seterusnya semakin terjerumus dalam “perhambaan dan menjadi buruh paksa.”

Menurutnya, pembantu rumah jauh kurang mendapat perlindungan disebabkan “kelopongan tidak adil” dalam undang-undang sedia ada, menyebabkan sebarang penderaan tidak dilaporkan melainkan berakhir dengan kematian.

Beliau memetik kes pembantu rumah, Adelina Lisao, yang meninggal dunia di hospital selepas didakwa didera majikannya.

Majikannya dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan bunuh di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas permintaan timbalan pendakwa raya, dalam keputusan yang kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan.