Site icon Malaysia now

Kedai makan ‘Belagoangin’, tarik pelanggan dengan konsep ‘ala’ kampung

Gaya makanan yang dibawa menggunakan dulang buluh menjadi tarikan utama pelanggan. (Gambar Bernama)

Dua tahun lepas, Kama Zakaria, 53, hanya mampu berniaga di sekitar kawasan rumah dengan meletakkan dua buah meja sahaja. Namun sejak berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei lalu, perniagaannya semakin mendapat sambutan.

Jika usahawan lain sedang berkira-kira tentang kerugian dalam perniagaan ekoran pandemik COVID-19, dia sebaliknya. Ternyata bekas kontraktor ini lebih kreatif, menerapkan unsur tradisional dan suasana kampung di kedai makan ‘Belagoangin’ menjadi lebih istimewa berbanding yang lain.

Terletak di sekitar Batu Rakit, kedudukan kedai makan ‘Belagoangin’ di tepi sawah padi dengan beratap rumbia sudah cukup memberi ketenangan kepada pelanggan untuk menikmati makanan. Ditambah pula gaya makanan yang dibawa menggunakan dulang buluh menjadi tarikan utama kepada pengunjung terutama pelancong luar.

“Sejak wabak COVID-19, makin ramai yang datang ke sini sebab tidak mampu ke luar negara. Lagipun suasana makan di tepi sawah sukar ditemui,” katanya.

Kama turut menjelaskan bahawa nama kedai makannya yang agak unik, turut menjadi tarikan, “Kalau ikutkan dialek daerah Besut, Belagoangin bermaksud berminat dan suka,” ujarnya.

Malah, dia membina pondok beratap rumbia akhir tahun lalu sebagai daya penarik kepada pelanggan dan pelancong untuk singgah makan ke kedainya.

Kama turut manfaatkan media sosial terutama Facebook untuk menarik pelanggan luar. Malah, ada juga pelanggan yang berkongsi tentang kedainya di media sosial hingga menjadi tular. Sejak itu, semakin ramai pelanggan yang datang sehingga terpaksa beratur menunggu giliran dan meja kosong.

“Kalau dulu saya hanya fikirkan skop perniagaan sekadar cukup makan, sekarang amat berbeza. Kini, ada lebih 30 buah meja yang memuatkan sekitar 150 orang dalam satu-satu masa.

Pada peringkat permulaan, Kama hanya mengusahakan kedai makan tersebut bersama isteri, Wan Jasnah Wan Sulong, 46, dengan dibantu anak sulung mereka Mohd Zulhakim, 29 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat sindrom down, namun sejak pertengahan tahun lalu dia telah berjaya mengupah seramai 13 orang pekerja.

“Saya ambil peluang rezeki ini dengan berkongsi bersama penduduk di sini. Saya ambil anak-anak muda tempatan bekerja dan ada juga nelayan pinggir pantai yang dapat pendapatan secara terus apabila menjual ikan untuk kedai kami,” katanya lagi.

Bagi memastikan perniagaannya dapat diuruskan dengan baik, bapa kepada empat orang anak ini, bukan sahaja membantu isterinya memasak, tetapi juga membeli sendiri bahan-bahan untuk digunakan termasuk mendapatkan ikan sungai yang segar.

Kedai makan Belagoangin menyediakan lebih 30 jenis masakan tradisional yang jarang ditemui seperti budu goreng, gulai siput sawah, gulai kepala ikan tasik serta masak asam pedas ikan puyu.

Ketika ditanya tentang perancangan masa depan, Kama berkata, beliau berhasrat menambah baik kemudahan sedia ada dan mengindahkan keadaan sekeliling dengan pelbagai barangan tradisional supaya anak muda kini dapat mengenali budaya nenek moyang mereka.

Beliau, yang kebiasaannya memakai tanjak dan berbaju batik ketika bertugas, juga berhasrat membuka sebuah lagi kedai makan berkonsepkan tradisional di tepi sawah bagi merancakkan pelancongan di Terengganu.

Sementara itu, salah seorang pelanggan tetap sejak tahun lepas, Asmah Razak, 35, berkata beliau telah merasai pelbagai jenis masakan di kedai tersebut dan mengakui ia jarang ditemui di tempat lain terutama masakan ‘telur kerengga’ (berasaskan telur ayam dan cili) dan gulai siput sungai.

“Kalau dulu tidak meriah begini, sekadar beberapa meja sahaja, tetapi kini perlu beratur sekitar 15 hingga 20 minit untuk dapatkan meja kosong. Tetapi ia berbaloi kerana masakan di sini sedap, murah dan ada pemandangan yang menarik untuk dijadikan kenangan,” katanya.

Kedai makan ‘Belagoangin’ dibuka dari jam 11 pagi hingga 3.30 petang setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com