Site icon Malaysia now

Kayuhan bersama Bash: 3 hari 2 malam ke Cameron Highland – Siri 1

Basharulhizam Ishak atau lebih mesra dengan panggilan Bash, seorang yang aktif dengan sukan berbasikal.

Hari Pertama: Dari Shah Alam ke Raub

Kayuhan 3 hari 2 malam ke Cameron Highland bukannya mudah. Perjalanan sejauh 155 km dengan 1,300 meter pendakian sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal.

Sebelum memulakan perjalanan, basikal mestilah berada dalam keadaan baik dengan kelengkapan keselamatan.

Apatah lagi membawa beg galas seberat 4kg sambil mengayuh. Namun, cinta terhadap sukan berbasikal buatkan aku nekad mencabar diri.

Perancangan diatur sebaik mungkin agar tiada masalah semasa pengembaraan. Aturannya agak mudah kerana ini kembara kayuhan kedua selepas pengembaraan ke Perak Selatan.

Perjalanan bermula dari Shah Alam seawal 8 pagi, merentas lebuh raya Latar (waktu itu belum dikuat-kuasa larangan berbasikal di lebuh raya) ke Lagong untuk pertemuan bersama tujuh lagi anggota kayuhan dari ‘Lesen Agung Cycling Club’ (LACC).

Dingin pagi mengigit tubuh, tiupan angin segar menghembus lembut mengiringi kayuhan solo yang tenang ke Lagong.

Bertemu di Lagong, sekali lagi memeriksa kelengkapan.

Sampai di Lagong, bertemu dengan ahli-ahli kembara, masing-masing bersedia dengan kelengkapan untuk menuju ke destinasi pengembaraan. Setelah genap lapan ahli LACC, kami meneruskan perjalanan ke Taman Templer.

Kayuhan bersama kumpulan lebih selesa dan keselamatan paling diutamakan. Tenang berkayuh tidak perlu gopoh kerana ini bukan pertandingan, tetapi kayuhan kembara berkumpulan.

Hari sudah semakin cerah, misi seterusnya ke Gombak mencari sarapan buat mengalas perut yang lapar.

Kayuhan ke Genting Sempah agak mencabar namun panorama sekitar mendamaikan jiwa.

Selesai sarapan, kayuhan diteruskan. Pendakian pertama menuju Genting Sempah, kawasan yang sangat terkenal buat para pengayuh basikal.

Pendakian sepanjang 16 km sedikit mencabar namun panorama sekitar mengubat lelah. Kiri kanan kelihatan hutan simpan yang menghijau, begitu tenang bila sekali-sekala cengkerik berbisik halus. Indah sungguh bumi cipta Tuhan.

Redup cuaca memudahkan lagi kayuhan, walau jalan tidak begitu cantik tetapi inilah cabaran. Pendakian dari kaki bukit ke puncak agak mencabar kekuatan fizikal.

Kadang-kala muncul sang biawak atau si kera berlari anak mencari makan di tepi jalan. Satu pengalaman indah bila dapat menyusuri keindahan alam, juga terapi buat diri.

Berehat di puncak Genting Sempah sebelum menuruni simpang Janda Baik.

Tidak berapa lama kemudian, kami sampai ke puncak. Kayuhan berhenti sementara, berehat sebentar untuk mengumpul tenaga ke destinasi seterusnya.

Perjalanan diteruskan dan kali ini kayuhan menuruni bukit melalui simpang Janda Baik. Kembara lebih menarik dengan jalan yang kosong dan cantik menjadikan kayuhan lebih mudah dan menyeronokkan.

Kayuhan menuruni bukit simpang Janda Baik ke Bentong yang menyeronokan.

Sesampai di Bentong, perut sudah bekeroncong. Food Court Bentong dituju mencari masakan kampung.

Ulam, masak lemak dan pelbagai lauk ikan dan ayam berkuah, semuanya kena dengan selera kami. Cuma kena beringat, tak boleh makan terlalu banyak takut mengah mengayuh nanti.

Selesai makan, kami berlapan meneruskan perjalanan ke Raub pula.

Berehat sebenar di hadapan kebun durian San Lee Bentong.

Di sini kami melalui kebun durian San Lee yang popular di Bentong. Laluan agak mencabar kerana ia berbukit-bukit. Malah, cuaca yang agak panas, sedikit sukar untuk kayuhan.

Perjalanan 100km terasa letih, kepenatan sudah menjelma bila bahang mentari tegak di atas kepala.

Selamat tiba di ‘homestay’ Raub.

Jam 5 petang, kami selamat sampai ke Raub dan terus ke destinasi ‘homestay’ yang disewa.

Melepaskan penat dan merehatkan sendi-sendi, kami menunggu malam untuk acara makam malam nanti.

Acara makan malam dengan hidangan kari kepala ikan.

Malam di Raub dipenuhi dengan pelbagai kisah kayuhan siang tadi sambil menjamu selera hidangan kari kepala ikan. Kami turut membeli segala kelengkapan “top-up” bagi kayuhan keesokan hari.

Jumpa di siri 2, kayuhan bersama Bash: 3 hari 2 malam ke Cameron Highlands.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com