KUALA LUMPUR: Kampus Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini dan Sabah kekal ditutup hingga 14 Jan ini susulan pelanjutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.
Menurut kenyataan TAR UC, pembelajaran dalam talian akan diteruskan seperti yang dirancang.
“Pengurusan TAR UC akan terus memantau rapat perkembangan ini dan mengambil segala langkah perlu untuk menjamin kesihatan dan keselamatan komuniti di TAR UC.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi laman web, Facebook dan Instagram TAR UC,” demikian menurut kenyataan itu.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan beberapa lokaliti di negeri lain hingga 14 Jan depan.
PKPB di kawasan terbabit dijadualkan tamat pada 31 Dis ini.