PETALING JAYA: Kakitangan Sime Darby Plantation yang dituduh mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang pekerja ladang kelapa sawit sudah meletak jawatan, kata syarikat.
Menurut laporan Associated Press mengenai penderaan seksual di ladang kelapa sawit, pekerja itu dituduh berkata “mari tidur dengan saya. Saya akan beri awak anak” kepada seorang kakitangan.
Sime Darby Plantation berkata ia dapat mengesan dan menyoal dua pekerja berdasarkan butiran laporan AP itu, yang sama seperti satu aduan gangguan seksual yang dibuat pada April 2019 tetapi ditarik balik dua bulan kemudian.
Selepas mengkaji semula kes itu, pihak syarikat berkata salah seorang pekerja yang dikesan itu tidak mahu hal itu dibuka semula dan nafi “kenyataan menyinggung” ditujukan kepadanya.
Seorang lagi pekerja pula nafi dia ada menuduh majikannya melakukan penderaan lisan, dan kedua-dua pekerja itu tidak dipaksa atau diugut, kata syarikat itu.
Ketua perhubungan kakitangan dan industri Sime Darby, Adeline Amanda Jaiyaseelan, berkata syarikatnya bersedia memberikan bantuan sekiranya kes dibuka semula.
Pegawai kelestarian kanan, Rashyid Redza, menambah “usaha yang kita sedang lakukan, secara dasarnya, bagi memastikan kita mempunyai saluran dan mekanisme aduan, dan orang tahu tentangnya dan tidak takut menggunakannya.
“Cukup banyak masa digunakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu ini.”
Banyak wanita malu untuk bersuara tentang gangguan dan penderaan seksual, dan AP mendapati terdapat kes-kes yang dilaporkan tidak dihirau syarikat-syarikat atau ditutup pihak berkuasa.
Perasaan takut dibalas memberi kesan kepada banyak perempuan yang bekerja di ladang-ladang terpencil, terutama mereka yang tinggal di kediaman yang disediakan syarikat.
Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Minyak Sawit Indonesia berkata mereka menentang sebarang bentuk gangguan seksual dan memandang serius semua tuduhan.