Berada di ladang bunga matahari sambil bergambar bersama bunga-bunga yang diberi nama saintifiknya helianthus annuus ini memang menakjubkan.
Jika selalunya pemandangan ini hanya dapat dilihat di luar negara seperti Rusia, Argentina dan Amerika Syarikat, mahupun di Bangkok, Thailand yang merupakan pengeluar bunga matahari terbesar di dunia.
Namun, kini orang ramai tidak perlu menunggu pintu sempadan negara dibuka untuk menikmati pemandangan ladang bunga matahari yang luas itu kerana mereka boleh menikmati pengalaman yang sama di Bagan Datuk.
Keindahan flora berwarna terang itu dapat dinikmati di ladang seluas 0.8 hektar di Bagan Sungai Burung di sini, menjanjikan panorama yang indah dihiasi lebih 2,000 pokok bunga matahari.
Pemilik ladang Sunflower Garden Khor Weng Kiang, 46, berkata hampir 400 pengunjung datang ke ladang berkenaan setiap hari untuk bergambar bersama pokok bunga matahari gergasi itu selain menikmati aktiviti lain seperti memberi makan ikan dan itik yang terdapat di ladang tersebut.
Khor berkata dia bersama kakaknya serta lima lagi rakan membuka ladang berkenaan sejak tahun lepas dan ia dibuka untuk kunjungan setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 petang dengan mengenakan bayaran bermula dari RM5 hingga RM13 mengikut had umur.
“Kami mendapat idea untuk membuka ladang ini selepas melihat pelancong dari luar suka mengambil gambar dengan pokok bunga matahari yang tumbuh di tepi jalan.
“Jadi, dari situ kita melihat pokok bunga matahari mempunyai tarikan yang tersendiri dan kita mahu ladang ini menjadi lokasi pelancongan yang baharu di Bagan Datuk,” katanya.
Khor berkata disebabkan jangka hayat pokok bunga matahari yang singkat, dia terpaksa membahagikan penanaman pokok itu kepada tiga lot bagi memastikan ladang berkenaan tidak ketandusan pokok bunga matahari sekali gus menghampakan pengunjung yang datang dari seluruh pelosok negeri.
“Sebenarnya, benih pokok ini sangat murah tetapi kos penjagaan pokok sangat tinggi kerana pokok ini selalu diserang serangga perosak dan perlu dijaga dengan teliti,” kata Khor, yang rajin melayan pengunjung dengan membantu mereka mengambil gambar.
Khor berkata ladang miliknya itu turut menjadi lokasi pilihan pengantin baharu daripada pelbagai kaum untuk merakam foto kenangan di situ.
Sementara itu, seorang pengunjung, Normila Jufri, 48, dari Kuala Selangor berkata dia sanggup memandu hampir tiga jam membawa anak perempuannya berumur 15 tahun ke ladang tersebut selepas ia menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
“Saya sebenarnya memang sudah lama teringin untuk ke ladang bunga matahari seperti ini di Bangkok, Thailand tetapi keadaan tidak mengizinkan. Jadi bila lihat di media sosial ada terdapat ladang seperti itu di Bagan Datuk, saya rasa teruja.
“Memang cantik kawasan ini, penuh dengan bunga matahari yang besar. Ramai orang nampak gembira dan saya sangat berpuas hati,” kata penjual insurans itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com