Site icon Malaysia now

Jiran terkejut ‘lelaki baik’ tikam anak

Flat Puchong Permai di mana seorang lelaki menikam anak perempuannya yang berusia setahun.

PUCHONG: Semalam sama seperti hari-hari lain bagi seorang wanita hanya dikenali sebagai Nur, sehinggalah dia mendengar jeritan amarah dari sebuah unit di flat Puchong Permai yang padat penduduknya.

Walaupun jeritan seperti itu jarang kedengaran di kawasan kejiranan berkenaan, Nur berkata dia tidak mengendahkannya kerana tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga orang lain.

Tidak lama selepas itu, dia dimaklumkan oleh jiran apa sebenar yang berlaku.

Beberapa tingkat di atas, seorang lelaki berusia 27 tahun bertengkar dengan ibunya dan mengurung wanita itu dari luar rumah, meninggalkannya bersama anak perempuan berusia setahun di unit tersebut.

“Ibunya menghubungi polis tetapi ketika mereka tiba, bayi itu sudah ditikam.”

Lelaki itu ditahan dan sebilah pisau pemotong roti, dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, dirampas.

Bayi itu dikejarkan ke Hospital Serdang dan kini dalam keadaan stabil.

“Semua orang terkejut, ini adalah kawasan kejiranan yang sangat rapat. Kami berkawan dan bergaul dengan semua jiran,” kata Nur yang sudah lama menetap di situ dan mengenali mengenali keluarga mangsa.

Menurut jiran, lelaki terbabit dan anak perempuannya tinggal bersama ibu bapa dan dua adik beradiknya di flat itu.

Bayi perempuan itu, kata Nur, satu-satunya cucu kesayangan datuk dan neneknya, serta ibu dan bapa saudaranya.

“Saya bingung dengan apa yang berlaku. Saya tidak pernah mendengar keluarga terbabit bertengkar dan saya mengenali lelaki itu selama bertahun-tahun. Dia membesar di sini.

“Dia seorang lelaki yang baik. Dia selalu menegur apabila melihat saya. Saya tidak sangka dia akan melakukan perkara itu.”

Jiran lain yang ditemui FMT juga terkejut dengan kejadian itu, sebilangannya membuat andaian suspek mungkin berada bawah pengaruh dadah, menyatakan insiden sama pernah berlaku di flat itu dua tahun lalu.

Dalam kejadian pada Ogos 2018, seorang bapa yang dipengaruhi dadah, mengelar anaknya berusia lima tahun sebanyak tiga kali lalu membunuhnya.

Lelaki itu mendakwa dia mendengar suara menyuruh membunuh anaknya. Ia berlaku kurang dari 200 meter dari lokasi kejadian semalam.

“Kami semua tak percaya. Saya tidak kenal suspek secara peribadi tetapi saya mengenali salah seorang saudaranya,” kata seorang jiran yang enggan dikenali.

“Saya tak tahu adakah itu disebabkan dadah, saya tak mahu buat andaian. Saya hanya bersyukur budak perempuan itu, dari apa yang saya dengar, dia dalam keadaan stabil.”